KOTA KINABALU: Industri minyak sawit Sabah dijangka terus berkembang dengan pembinaan kompleks pembuatan yang merangkumi kilang oleokimia dan asid lemak pertama di kepulauan Borneo.
Kilang oleokimia yang bakal didirikan di kawasan seluas 1.21 hektar di Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC), Lahad Datu dengan kos berjumlah RM300 juta.
Pembangunan kilang itu membolehkan Sabah menghasilkan asid stearik dan soap noodles yang akan digunakan dalam pembuatan produk kosmetik, plastik dan tayar.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gamalux Oils Sdn. Bhd, Usman Ahmed berkata, sebagai peneraju oleokimia pertama di Sabah, mereka akan berusaha menghasilkan produk hiliran yang memberi nilai tambah kepada minyak sawit Sabah.
“Pembangunan kilang oleokimia itu dijangka membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran oleokimia kepada 120,000 tan metrik setahun untuk dieksport ke Korea, Jepun dan China,” katanya ketika ditemui semalam.
Usmen berkata, pembangunan kilang oleokimia itu selari dengan pengoperasian terminal kontena di POIC yang bermula sejak 2018.
Mengenai operasi Gamalux Oils di Lahad Datu, sejak beroperasi sepenuhnya pada 2016 hingga sekarang, mereka yakin akan mencatatkan perolehan sebanyak RM450 juta.
Namun, bagi tempoh tiga tahun akan datang, perolehan mereka dijangka meningkat kepada RM2 bilion susulan pembangunan kilang oleokimia tersebut.
Pada masa ini, terdapat 20 kilang oleokimia di bangunkan di seluruh Malaysia namun, tiada satu kilang pun dibina di Sabah dan Sarawak susulan kos pengoperasian yang tinggi.
Seiring dengan visi syarikat, Gamalux Oils akan terus memberi fokus kepada teknologi hijau dalam operasi kilang mereka demi kelestarian alam sekitar.
Sempena pelancaran Pelabuhan Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Sabah di Lahad Datu semalam, Usman menandatangani perjanjian pelaburan bersama Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Fredian Gan dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Pengerusi Lembaga Pengarah POIC Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee.- UTUSAN