PETALING JAYA: Sebuah kilang penyimpanan kain di Taman Kepong dekat sini musnah terbakar awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan pada pukul 1.58 pagi seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Gombak, BBP Gombak Selatan , BBP Sri Hartamas dan BBP Hang Tuah dengan kekuatan 45 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi Kanan, Mohamad Hasbullah Naimi Mahmood berkata, setibanya jentera bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang penyimpanan kain di bahagian stor berkeluasan 25 x 50 kaki persegi.
“Hampir 80 peratus kilang tersebut terbakar. Tindakan operasi pemadaman menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ dengan membuat ‘cooling’ di bangunan berhampiran.
“Tiada mangsa yang terlibat. Api telah dipadam sepenuhnya pada 3.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.- UTUSAN