LANGKAWI: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin secara berseloroh mengatakan akan bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menerima pelawaan untuk bertanding kerusi Parlimen bagi UMNO di negeri lain.
“Hari ini saya berada di sini (Kedah) untuk berbincang dan berunding dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Mak saya daripada Kedah.
“Ada mesejlah saya datang hari ini, macam-macam saya bawa hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga secara berseloroh mengalu-alukan Khairy untuk bertanding di negeri ini.
“Dialu-alukan. Ada sebut sebelum ini Alor Setar, tak dengar (berita itu)? Dekat Kedah, eloklah,” ujarnya.
Semalam, Khairy berkata, beliau akan mengadakan perbincangan secara tertutup bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai siapa yang akan bertanding kerusi Rembau pada PRU15.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan itu mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai cadangan untuk bertanding bagi kerusi Seremban pada pilihan raya itu.
Laporan itu selepas beliau mengumumkan akan memberi laluan kepada Mohamad bagi kerusi Rembau dan akan mengikut keputusan parti tetapi menyatakan perkara ini akan menyebabkan beliau tiada tempat yang jelas untuk bertanding.
Susulan itu, terdapat cadangan daripada Pemuda UMNO Seremban agar Khairy menjadikan Seremban sebagai pengganti kepada Rembau. – UTUSAN