SHAH ALAM: Walaupun dalam kesempitan hidup, namun, tidak membataskan seorang wanita membesarkan tiga anak saudaranya.
Ini berikutan adiknya, S.Parvathy, 37, meninggal dunia akibat kanser payudara manakala bapa kepada anak saudaranya itu pula hilang tanpa sebarang berita.
S. Jamnah berkata, dia yang bekerja sebagai tukang cuci hanya berpendapatan RM1,200 terpaksa ‘ikat perut’ demi keselesaan anak saudaranya itu.
Katanya, ketiga-tiga anak saudaranya masing-masing Naveen Kumar, 17, Logeswary, 11, dan Janatan, 10, memerlukan perbelanjaan harian kerana masih bersekolah.
“Kalau tengok gaji memang tidak cukup dengan sewa rumah RM300 sebulan sehingga terpaksa buat bajet sewajarnya demi kelangsungan hidup bersama anak-anak saudara.
“Tambahan, mereka masih muda dan pendidikan amat penting supaya masa depan lebih cerah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Buluh dekat sini, baru-baru ini.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan dan bantuan daripada Pengerusi Selangor People’s Voice (SPV) M.Paramasivan dan Pengerusi Pertubuhan Dalam Komuniti Bandar Botanic Klang, Datuk Nor Shabudin Monil.
Bercerita lanjut, Jamnah memberitahu, sebelum ini, mendiang adiknya ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan untuk menanggung anak-anaknya.
Jelasnya, mendiang adiknya itu sebelum ini tidak bekerja kerana masalah kesihatan dan bergantung harap kepada bantuan tersebut. –UTUSAN










