Kes culik: Jangan panik jika polis ronda kawasan sekolah

Kes culik: Jangan panik jika polis ronda kawasan sekolah

ZAINOL Samah bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar penyerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara tanpa istiadat di Kampung Durian Daun Dalam, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Orang ramai yang melihat kelibat kereta peronda polis di sekitar kawasan sekolah di negeri ini diminta tidak panik kerana ia adalah tugasan rutin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hal ini kerana masyarakat cenderung untuk mengaitkan sesuatu dilihat dengan kes-kes tertentu yang hangat diperkatakan, sedangkan di Melaka belum terdapat kes culik dilaporkan. 

Tegas beliau, rondaan berkenaan merupakan tugasan biasa polis bagi memantau keselamatan orang ramai.

“Rondaan ini adalah tugas rutin. Itu memang kerja polis dan tetap dilakukan meskipun tiada kes dilaporkan.

“Masyarakat kadang-kadang apabila ternampak saja polis meronda, mereka akan kaitkan dengan isu-isu tertentu. Itu hanya persepsi mereka sedangkan itu memang tugas polis.

“Justeru, saya minta orang ramai tidak panik dan jangan memanjangkan perkara-perkara yang tidak sahih. Jika ada kemusykilan boleh rujuk terus kepada pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara tanpa istiadat di Kampung Durian Daun Dalam, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, polis mengesahkan bahawa rakaman suara yang tular melalui aplikasi WhatsApp berkenaan kes kanak-kanak diculik oleh sebuah kereta di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rambai di sini adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semakan mendapati mesej palsu tersebut mula tular pada 27 September 2022 dan turut diulang siar di beberapa platform media sosial.

Dalam perkembangan lain, Zainol memaklumkan, Polis Kontinjen Melaka sudah bersedia menghadapi peralihan fasa Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November depan.

Katanya, beliau telah meminta setiap daerah untuk mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi berkaitan bagi melancarkan proses memberi bantuan dan sebagainya.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengadakan bengkel di mana semua ketua polis daerah membabitkan Negeri Sembilan, Melaka, pegawai-pegawai daerah dan lain-lain agensi bagi menyeragamkan persediaan menghadapi banjir.

“Selain itu, saya mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi bantuan dalam bencana yang berlaku. Saya minta mereka tampil untuk berjumpa polis dan maklumkan apa bantuan yang hendak disalurkan dan kita selaraskannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya