Kes bunuh Datin: Ahli keluarga, jiran beri keterangan

Kes bunuh Datin: Ahli keluarga, jiran beri keterangan, polis jejaki suspek 

AHMAD Dzaffir Mohd. Yussof (depan, lima dari kanan) bersama Aidi Ismail (depan, empat dari kanan) dan Ketua Perniagaan Runcit Petron, Shaliza Mohd. Sidek (depan, tiga dari kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Penghargaan PDRM kepada Pengusaha Stesen dan Pelancaran Mural serta Poster Keselamatan Petron Malaysia di Petron Nilai Impian, Nilai, Seremban hari ini. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak polis telah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan dan mengesan suspek utama kes seorang wanita bergelar Datin yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Paroi Jaya, Seremban, Jumaat lalu. 

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suspek seorang lelaki yang mempunyai pertalian saudara dengan mangsa sedang dijejaki selepas dipercayai telah melarikan diri. 

“Kami telah mengambil keterangan beberapa individu termasuk ahli keluarga dan jiran-jiran mangsa bagi membantu siasatan kes. 

“Setakat ini, kami masih mengesan suspek dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa suspek melarikan diri namun pihak polis akan berusaha untuk menjejak seterusnya menangkap suspek,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Penghargaan PDRM kepada Pengusaha Stesen dan Pelancaran Mural serta Poster Keselamatan Petron Malaysia di Petron Nilai Impian di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail. 

Ahmad Dzaffir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya oleh pihak media sama ada suspek masih berada di Negeri Sembilan atau sudah melarikan diri ke kawasan lain. 

“Petunjuk baharu masih dalam siasatan pihak polis dan biar perkara ini selesai dahulu,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan melaporkan seorang wanita warga emas bergelar datin berusia 75 tahun ditemui mati akibat dibunuh selepas berlaku pergelutan dengan penjenayah di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini. 

Kejadian pada pukul 8.25 malam itu berlaku ketika Datin Noraida Nordin, 75, tinggal bersama suaminya yang merupakan bekas ahli perniagaan bergelar Datuk, namun berdepan masalah penglihatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan pada anggota badan mangsa. 

Dalam perkembangan lain, berkaitan kes cubaan culik kanak-kanak yang tular di media sosial sejak akhir-akhir ini, Ahmad Dzaffir berkata, perkara tersebut tidak perlu dihebahkan sekiranya tidak benar berlaku.

“Menjadi tanggungjawab ibu bapa dan pihak sekolah supaya lebih berhati-hati (sekiranya berdepan kes cubaan culik).

“Kalau kejadian tersebut tidak benar jangan dispekulasi atau diviralkan kerana bimbang boleh menimbulkan kegusaran awam dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya.

Semalam media melaporkan seorang ibu trauma selepas dua anaknya dan seorang anak saudara didekati lelaki tidak dikenali dengan memberi umpan gula-gula ketika bermain di taman permainan Taman Desa Cempaka, Nilai.

Susulan kejadian itu, ibu bapa kanak-kanak telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai pada Isnin lalu kerana bimbang dengan keselamatan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya