ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) berpandangan kerjasama antara Pas dan UMNO akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang juga Pengerusi PH Kedah berkata, Pas kini dilihat sebagai ancaman besar dalam politik negara apabila berterusan ingin bekerjasama dengan UMNO di sebalik isu korupsi pemimpin parti itu yang sekali gus akan menjadi faktor gabungan itu ditolak pengundi.
“Kalau mereka (Pas-UMNO) positif mahu bersatu, itu bawa kemenangan besar kepada kita (PH). Jelas apabila UMNO diangkat oleh Pas untuk berada dalam politik kuasa itu menyebabkan Pas akan jadi ancaman besar dalam politik negara,” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian dalam satu bual bicara secara siaran langsung di media sosial yang bertajuk PRU-15 PH Kedah Bersedia: UMNO & Pas ‘Tak Relevan Lagi’ anjuran Amanah Kedah di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, kata Mahfuz, tindak tanduk Pas berterusan memujuk UMNO supaya kekal bersama dalam Muafakat Nasional (MN) yang turut dijadikan resolusi ketika Muktamar Tahunan parti itu baru-baru ini juga jelas membuktikan ia tidak relevan lagi untuk politik negara ini.
“Mereka melaungkan soal MN konon ada pihak jadi ancaman kepada Melayu-Islam, ini bukan realistik. Dia (Pas) hanya cipta suatu suasana sama seperti bila kita berada dalam PH.
“Pas guna kaedah sama untuk cipta ketakutan PH terhadap masyarakat Melayu-Islam, sudah tentu tak ada pertambahan untuk dapat undi supaya kembali berkuasa, yang penting pada mereka untuk kekal kedudukan dalam politik kuasa dan bukan selesai masalah rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Mahfuz turut menggambarkan Pas sebagai anai-anai yang dilihat hanya akan merobohkan negara jika terus dibenarkan berkuasa.
“Kalau kita lihat ungkapan pimpinan Pas suatu ketika dahulu (adalah) jangan cenderung kepada kezaliman, kamu akan disambar api neraka. Tetapi sekarang saya lihat dia (Pas) cuba letak UMNO kembali pada politik kuasa.
“Ini rakyat perlu lihat bahawa ancaman baharu kepada politik Malaysia adalah UMNO yang sedang diangkat oleh parti Islam. Rakyat kena racun PN (Perikatan Nasional), anai-anai yang sedang runtuhkan rumah kita,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Pas sebagai parti penuh agenda peribadi terutama dalam memastikan mereka kekal berkuasa dalam negara, walaupun dilihat gagal mentadbir ekoran pelbagai masalah rakyat ketika ini.
“UMNO bertegas mahu pergi (bergerak) solo tetapi Pas masih ulang (mahu bersama) sebab Pas tahu dari segi kekuatan mereka tidak cukup untuk raih undi yang besar bagi mempertahan politik kuasa.
“Kita berhadapan dengan pelbagai beban kos sara hidup yang tak selesai dan penyelesaian itu bukan bererti memberi sekampit beras. Ini tak disuarakan idea untuk atasi masalah itu,” katanya.-UTUSAN