PETALING JAYA: Kerjasama antara ibu bapa, penjaga, sekolah dan agensi berkaitan perlu dipertingkatkan bagi mengawasi serta memantau keselamatan anak di sekolah selain berwaspada dengan mereka yang mencurigakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelak anak-anak menjadi mangsa culik seperti didakwa kebelakangan ini.
“Semua pihak termasuk ibu bapa, penjaga, warga pendidik dan sekolah perlu memainkan peranan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas dakwaan cubaan culik murid sekolah di Kelantan, Perak dan Pahang beberapa hari lalu sekali gus mengundang kegusaran ibu bapa. Namun pihak polis mengesahkan dakwaan yang tersebar di media sosial itu tidak dibenar.
Mohamad Ali berkata, adalah lebih baik juga jika dapat dilakukan rondaan secara bergilir-gilir dan berkala di kawasan sekolah.
Pihak polis perlu lakukan pemantauan dan letakkan kotak keselamatan di sekolah serta menyediakan talian ‘hotline’ untuk mudah dihubungi jika terdapat kes atau mereka yang mencurigakan di kawasan sekolah.
Dalam pada itu katanya, pihak sekolah perlu menyediakan ruang menunggu khas dalam kawasan sekolah dengan pengawasan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni dan sekolah.
“Pastikan pergerakan semasa balik daripada sekolah teratur dan dibuat penggiliran agar selamat dan urusan keluar masuk ada surat rasmi dan komunikasi dua hala antara sekolah dan ibu bapa.
“Pihak sekolah juga perlu membuat program kesedaran seperti ceramah khas termasuk
bagaimana untuk mengenali ciri-ciri penculik dan bagaimana untuk mencegah berlaku kes penculikan,” katanya. – UTUSAN










