Kerajaan usaha selamatkan rakyat ditipu tawaran kerja

Kerajaan usaha selamatkan rakyat ditipu tawaran kerja

Antara 30 keluarga mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan oleh sindiket scammer di Kemboja, Laos dan Myanmar memegang plakad merayu dan memohon campur tangan kerajaan ketika menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri di Putrajaya, baru-baru ini. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, ekoran sindiket penipuan kerja seperti disuarakan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja.

Untuk itu, beliau memberi jaminan pelbagai usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada dan kerajaan memastikan mereka dibawa pulang dengan selamat.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa-mangsa sindiket.

“Ini bagi mendapatkan maklumat terperinci, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada masa sama, Perdana Menteri menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

Kata beliau, Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

Terdahulu, kedua-dua NGO berkenaan menyertai sesi taklimat secara tertutup bersama Abdul Latiff yang hadir bersama beberapa anggota keluarga dan waris mangsa jenayah perhambaan tersebut.

Ia susulan penyerahan me­morandum MHO kepada Perdana Menteri semalam ekoran pendedahan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah disiarkan Utusan Malaysia pada 8 September lalu yang membongkar hampir 200 rak­yat Malaysia menjadi mangsa.

Beberapa keluarga mang­sa skim penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berharap agar Perdana Menteri dapat membantu mereka de­ngan berhubung terus dengan ketua kerajaan negara terbabit termasuk membawa isu ber­kenaan dalam sidang kemuncak ASEAN untuk dikongsi dan diberikan perhatian berat semua kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya