TUMPAT: Kerajaan terus komited meneruskan projek-projek utama di kawasan Pantai Timur dalam usaha memperkasakan pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga projek itu melibatkan pembinaan Jambatan Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Takbai di Kelantan, Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (Terengganu) dan projek pelebaran Lebuh Raya Kuantan-Segamat, Fasa 2 (Pahang).
“Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 ini melibatkan jajaran sejauh 147 kilometer (km) bermula dari Gemuruh (Terengganu) ke Pengkalan Kubor (Kelantan).
“Selain itu, kerajaan telah bersetuju untuk melebarkan jalan projek Lebuhraya Kuantan-Segamat, Fasa 2 sejauh 51 km dari Runchang ke Simpang 3 Keratong di Pahang,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu memberitahu, kerajaan turut meluluskan perbelanjaan berjumlah RM897 juta untuk Projek Tebatan Banjir di Rantau Panjang-Golok Fasa 2.
Katanya, kesemua projek itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Bilangan 2/2022 pagi tadi.
“Keputusan ini memperlihatkan kerajaan persekutuan berlaku adil kepada semua negeri,” ujarnya. – UTUSAN










