PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan Sukuk Prihatin yang dilancarkan dua tahun lalu mencapai tempoh matang dan ditebus sepenuhnya pada 22 September lalu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terbitan Sukuk Prihatin ditambah sebanyak RM166,417,500 ekoran sambutan menggalakkan dan dilanggan 2,436 pembeli individu dan korporat dengan jumlah keseluruhan terbitan sebanyak RM666,417,500.
Kata beliau, sejumlah 95 pemegang Sukuk Prihatin memilih untuk menyumbangkan amaun prinsipal kepada kerajaan dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM2,599,400.
Untuk itu, beliau berkata, kerajaan akan menyalurkan keseluruhan sumbangan itu kepada Akaun Amanah Bencana yang antara lain menyokong pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam yang rosak serta bantuan kewangan untuk mangsa bencana alam.
Sejak ditubuhkan pada 22 September 2020, jelas beliau, Sukuk Prihatin menerima permintaan pelbagai pihak untuk turut bersama membantu dalam usaha pemulihan negara ketika dilanda pandemik Covid-19.
“Jumlah terbitan telah disalurkan bagi membiayai sebahagian perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 termasuk pinjaman mikro kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional selain bantuan khas untuk pelajar institusi pendidikan tinggi.
“(Ia turut disalurkan bagi) kempen e-Dagang untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro serta pelbagai perbelanjaan berkaitan kesihatan awam dalam usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, Sukuk Prihatin diiktiraf kerana ciri-ciri inovatifnya yang menggabungkan unsur unsur digital, pelaburan runcit dan tujuan amal.
Katanya, ia juga memenangi pelbagai anugerah termasuk Urus Niaga Terbaik Keseluruhan Tahun 2020, Urus Niaga Paling Inovatif Tahun 2020 dan Urus Niaga Terbaik Malaysia Tahun 2020 oleh Islamic Finance News, selain diiktiraf sebagai Sukuk Digital Terbaik oleh Alpha Southeast Asia di Anugerah Tawaran & Solusi Terbaik Tahunan 2020 ke-14.
Beliau berkata, Maybank merupakan bank pengedar utama Sukuk Prihatin yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia, manakala pelabur runcit melanggan dengan jumlah serendah RM500 untuk menyokong usaha pemulihan negara.
“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang melanggan sukuk tersebut.
“Penghargaan kerajaan bukan sahaja ditujukan kepada semua pemegang sukuk, tetapi kesemua ahli-ahli Keluarga Malaysia yang sama-sama menyokong negara menangani isu kesihatan awam dan ekonomi semasa kemuncak pandemik,” katanya. – UTUSAN










