Kerajaan setuju bincang mangsa penipuan kerja warga Malaysia

Kerajaan bincang isu warga Malaysia jadi mangsa penipuan kerja di luar negara

ABD LATIFF AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai 24 jam penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, isu ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan kerja di luar negara akan dibawa ke Kabinet.

Berita gembira itu disahkan pemangku Menteri Luar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad selepas bertemu sendiri wakil dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa waris mangsa.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini hari ini, beliau memaklumkan akan membawa isu itu dalam mesyuarat mingguan jemaah menteri esok bagi mencari jalan menyelamatkan mangsa.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam selepas menerima memorandum mereka telah mengarahkan saya agar melihat perkara ini dengan lebih mendalam,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu selepas mendengar taklimat disampaikan Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO).

Sesi tertutup selama lebih sejam itu disertai penasihat NGO tersebut, Tan Sri Musa Hassan yang juga bekas Ketua Polis Negara dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Semalam, mereka turut menyerahkan memorandum khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin bagi mendesak pihak kerajaan agar campur tangan.

Isu itu timbul susulan lawatan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ke Kemboja pada 8 September lalu bagi misi pembebasan puluhan mangsa di depoh tahanan imigresen di sana.

Ekoran berita tersebut yang disiarkan Utusan Malaysia, MHO pada keesokan hari bertindak menyampaikan memorandum kepada Bahagian Konsular Kementerian Luar di Wisma Putra.

Mereka turut memohon Jabatan Imigresen Malaysia supaya menggantung sementara waktu segala perjalanan ke Kemboja, Laos dan Myanmar bagi mengelak ramai lagi menjadi mangsa.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, pihak kerajaan memang memandang serius isu tersebut kerana sebahagian mangsa masih muda namun terjebak jenayah skim perhambaan moden.

“Bagaimanapun kita belum ada punca kuasa perundangan tertentu bagi sekat rakyat pergi ke mana-mana negara anggota ASEAN kerana tiada visa jika kurang tempoh 90 hari,” katanya.

Justeru, beliau berharap mesyuarat Kabinet esok akan meneliti bentuk mekanisme yang boleh diguna bagi menghalang golongan belia ke luar negara menerusi tawaran percutian diragui.

Tambahan pula, semua mangsa tidak sedar pun mereka ditipu kerana asalnya diajak bercuti sebelum terjerat dipaksa menjadi pekerja sindiket jenayah pemerdagangan rentas sempadan.

Beliau namun optimis kerajaan bersedia menggunakan pelbagai saluran diplomatik termasuk kerjasama dengan rangkaian polis ASEAN bagi misi membendung kegiatan perhambaan itu.

Ditanya mengenai jumlah mangsa, Abdul Latiff berkata, angka sebenar tidak dapat disahkan kerana ramai waris belum membuat laporan rasmi kepada pihak Wisma Putra dan kedutaan.

Beliau memberi contoh di Myanmar apabila dianggarkan sejumlah 58 remaja Malaysia terkandas menjadi mangsa skim jenayah berkenaan tetapi bilangan tepat mungkin jauh lebih besar.

“Setakat ini, kita dapat kerjasama baik daripada kerajaan Kemboja dan Laos sehingga ramai mangsa dapat dikesan sebelum diselamatkan tetapi Myanmar pula ada masalah,” katanya.

Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, beliau merujuk ketidakstabilan politik di negara itu menyukarkan usaha pembebasan mangsa yang kebanyakan disorok di kawasan terpencil. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya