fbpx

Kerabat Arab Saudi didakwa beri Najib AS$100 juta

NAJIB Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB. - UTUSAN/SHIDDIEQQOIN ZON

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima hadiah AS$100 juta daripada individu yang didakwa kerabat diraja Arab Saudi bagi menghargai peranan beliau selaku pemimpin Islam moden ketika berjawatan Perdana Menteri, 11 tahun lalu.

Hadiah tersebut didakwa diberikan oleh bekas Gabenor Wilayah Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al Saud melalui sepucuk surat bertarikh 1 Februari 2011 yang dialamatkan kepada bekas Perdana Menteri.

Perkara itu dikemukakan oleh pihak pembelaan melalui keterangan Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Najib.

Menurut surat berkenaan yang dirujuk kepada Uma Devi, kerabat itu menyatakan beliau tidak mengharapkan sebarang faedah peribadi sama ada secara langsung atau sebaliknya terhadap hadiah yang diberikan.

“Hadiah ini tidak boleh ditafsir sebagai rasuah kerana perbuatan itu bercanggah dengan hukum Islam dan secara peribadinya saya tidak menggalakkan amalan sedemikian dalam apa cara sekalipun.

“Ini hanya penghargaan peribadi dan saya berharap hadiah ini sebagai penggalak usaha-usaha memperkenalkan Islam ke serata dunia,” ujar surat itu.

Surat berkenaan turut menyatakan, wang AS$100 juta itu hanya hadiah dan akan dimasukkan ke dalam akaun Najib pada bila-bila masa yang bersesuaian dan bekas Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk menentukan bagaimana ia digunakan.

Menurut surat itu, kerabat Diraja tersebut tertarik dengan hasil usaha bekas Perdana Menteri melaksanakan prinsip berlandaskan Islam ketika memperkenalkan Malaysia ke mata dunia terutama selepas tanggapan global diberikan ekoran tragedi 9/11.

Dalam prosiding pemeriksaan balas, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed turut merujuk saksi kepada dokumen penyata akaun Najib yang menunjukkan terdapat kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi ke dalam
akaun Ambank pada Mac dan April 2013.

Wan Aizuddin mencadangkan kepada Uma Devi bahawa dapat disimpulkan alasan mengapa wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun anak guamnya.

“Saya tidak boleh membuat kesimpulan kerana jumlahnya berbeza dan saya tidak pasti sama ada surat itu dikemukakan kepada pihak bank sebelum transaksi berlaku,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Uma Devi memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN