Kenderaan Sultan Johor jadi tarikan - Utusan Malaysia

Kenderaan Sultan Johor jadi tarikan

HISHAMUDDIN Abdul Rahim menunjukkan kenderaan jenis Mack yang digunakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika Kembara Mahkota Johor di Pameran Kembara Mahkota Johor sempena Festival Majestic Johor 2022 di Puteri Harbour, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mempamerkan 16 buah kenderaan yang digunakan baginda secara rasmi sepanjang penganjuran program Kembara Mahkota Johor (KMJ) sejak tahun 2000 di Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 di sini.

Setiausaha Sekretariat KMJ, Hishamuddin Abdul Rahim berkata, pameran berkenaan bertujuan untuk mengubat kerinduan rakyat negeri ini terhadap program yang kali terakhir diadakan pada 2019.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan lebih daripada 10,000 beg cenderamata untuk diagih-agihkan kepada pengunjung secara percuma sepanjang 11 hari pameran berkenaan berlangsung.

“Kita mengetengahkan 16 kenderaan yang pernah digunakan baginda dan anakanda-anakanda sepanjang pe­nganjuran program KMJ sejak tahun pertama diadakan pada 2000, antaranya motosikal jenis Harley Davidson, edisi Road King Asian Tiger.

“Selain itu, kenderaan lain yang boleh ditonton pengunjung ialah lori Mack, empat buah Morgan, tujuh motosikal berkuasa tinggi, dua karavan, kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas.

“Tuanku berkenan mempamerkan kenderaan-kende­raan ini kepada pengunjung bagi mengubati kerinduan orang ramai terhadap program KMJ. Ini kerana kali terakhir KMJ diadakan pada 2019, sebelum terpaksa dihentikan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Hishamuddin berkata, jumlah kenderaan yang akan dipamerkan di festival ber­kenaan dijangka ditambah supaya lebih ramai pengunjung dapat melihat kenderaan yang pernah digunakan baginda.

“Pameran ini turut menampilkan 10 pemberian istimewa yang diterima Sultan Ibrahim daripada pelbagai daerah yang dikunjungi ba­ginda ketika melakukan program kembara berkenaan,” jelasnya.

Orang ramai juga boleh mendapat barangan cenderamata berkaitan program KMJ dengan mengunjungi gerai jualan yang disediakan di dalam ruang pameran.

“Gerai berkenaan turut menjual barangan cenderamata daripada Muzium Diraja Abu Bakar seperti pemegang kunci, baju T, buku program KMJ dan lain-lain. Istimewanya, semua barangan ini hanya boleh dibeli apabila ada majlis-majlis tertentu seperti festival ini dan tidak dijual secara harian,” katanya.

FMJ 2022 yang berlangsung mulai semalam hingga 18 September ini menyasarkan kehadiran antara 500,000 hingga 700,000 pengunjung domestik dan luar negara serta dimeriahkan dengan 32 acara utama seperti pertunjukan sukan tempur Muay Thai, persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan konsert artis terkenal tanah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya