Kenaikan OPR hanya beri sedikit implikasi - Utusan Malaysia

Kenaikan OPR hanya beri sedikit implikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pergerakan ekonomi domestik dijangka lebih perlahan susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.50 peratus pada hujung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, peningkatan itu akan menyebabkan kadar pinjaman bank lebih tinggi termasuk bagi pembelian hartanah dan kereta.

Walau bagaimanapun, kenaikan OPR itu tidak begitu signifikan kerana ia membabitkan sedikit sahaja peningkatan.

“Namun ini bukan masa sesuai untuk membeli hartanah mahupun kereta jika tidak mahu dibebani dengan kadar faedah pinjaman yang tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, dari segi pelaburan pula, kenaikan OPR mampu menarik lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini apabila kadar faedah meningkat dan lebih ramai ingin menyimpan duit dan melabur di negara ini kerana pulangan pelaburan yang tinggi.

Menurut beliau, kenaikan OPR tidak boleh dielakkan kerana tekanan inflasi yang semakin meningkat.

“Biasanya kenaikan OPR sebagai respon kepada situasi inflasi semasa. Jika tekanan inflasi meningkat maka, Bank Negara Malaysia (BNM) atau dasar kewangan sudah tentu diketatkan atau dinaikkan.

“Berdasarkan sejarah, OPR pernah mencecah 3.5 pada 2006 dan selama tempoh 10 tahun, kadar itu antara 3.0 hingga 3.5 peratus dan turun kepada 1.75 peratus pada 2020,” katanya.

Firdausi berkata, pertumbuhan ekonomi negara semakin meningkat selepas fasa peralihan endemik Covid-19.

Justeru katanya, momentum itu diteruskan dengan menaikkan OPR bagi mengawal peningkatan inflasi agar lebih banyak pelaburan, perdagangan dan aktiviti perniagaan boleh dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN