Kementerian siasat segenap aspek dakwaan culik - Radzi

Kementerian siasat segenap aspek dakwaan culik – Radzi

RADZI Jidin (tengah) diberi penerangan oleh Nurul Alia Maisarah Mohd. Helmi mengenai jus nanas dan kerepek nanas pada Program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Tanjung Malim hari ini. - FOTO/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Isu dakwaan culik membabitkan pelajar sekolah yang hangat diperkatakan kini akan diteliti daripada pelbagai aspek oleh Kementerian Pendidikan.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, maklumat yang diperolehi itu akan dikaji secara menyeluruh untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil. 

Menurutnya, dalam kebanyakan kes, didapati terdapat bermacam-macam laporan cubaan culik diberikan pelajar sebelum dibuktikan palsu oleh polis.

“Saya rasa ibu bapa pun inginkan semua anak bercerita secara jujur dan benar, tapi kita juga perlu tahu apakah keadaan di belakangnya (dakwaan culik). Umumnya, kanak-kanak ini jujur namun apa keadaan di sebalik hal tersebut, kita perlu semak secara mendalam.

“Kita perlu teliti kebenaran cerita yang dikatakan, sebab itu kita tidak mahu lihat secara luaran sahaja dan terus buat kesimpulan. Kita akan lihat konteks tertentu untuk kita ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, di sini hari ini.

Menurut Radzi, pihaknya juga sentiasa menjalin kerjasama rapat dengan pihak polis dalam usaha memastikan aspek keselamatan dan keberadaan pelajar di sekolah terus terjamin.

“Pelajar-pelajar ini sebenarnya sering diingatkan tentang keselamatan mereka bukan sahaja di sekolah malahan di luar. Perkara berkaitan keselamatan memang kita sentiasa tekankan.

“Apa yang paling penting adalah kesedaran dalam kalangan pelajar ini untuk memahami risiko. Kita tidak kata semua tempat bahaya tetapi memahami risiko adalah tindakan yang wajar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kes cubaan culik melibatkan pelajar sekolah di beberapa buah negeri antaranya di Perak, Pahang, Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Bagaimanapun, siasatan yang dijalankan mendapati dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah didapati palsu dan sengaja direka oleh pelajar terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya