Kekurangan bekalan telur ayam bukan satu krisis

Kekurangan bekalan telur ayam bukan satu krisis

AZMAN Mohd. Yusof (kiri) meninjau bekalan ayam yang dijual pada PJMKM di Seberang Takir di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Masalah kekurangan bekalan telur ayam di beberapa kawasan seluruh negara yang berlaku ketika ini bukan satu krisis kerana isu tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, pengurusan bekalan telur ayam masih berjalan dengan baik hasil perkongsian maklumat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Memang baru-baru ini, ada masalah bekalan telur ayam dilaporkan berlaku di beberapa kawasan namun apabila pegawai penguatkuasa kita turun ke lapangan dan menjalankan siasatan mendapati disebabkan masalah teknikal.

“Contohnya penghantaran telur ayam yang lambat dan pesanan yang tidak dibuat mengikut masa  sepatutnya.

“Oleh itu, masalah yang berlaku dapat diselesaikan secepat  mungkin contohnya aduan kehabisan telur ayam pada sebelah pagi dan bekalan terus dihantar pada sebelah petang atau keesokan harinya, tidak berlaku dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Seberang Takir yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Langkawi di Kedah, Jerantut di Pahang dan Hulu Terengganu di Terengganu mengalami masalah kekurangan bekalan telur ayam menyebabkan kesukaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau, berkata, PJKM yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Disember tahun lepas berjaya memberi manfaat kepada 3.4 juta rakyat dari golongan berpendapatan rendah dengan rekod jualan sebanyak RM63 juta setakat 31 Julai lalu.

Menurutnya, program itu telah dilaksanakan di 2,000 lokasi di semua 222 kawasan parlimen seluruh negara dan diperluaskan ke kesemua 600 DUN seluruh negara serta 13 Parlimen di WilayahPersekutuan sebagai kesinambungan usaha membendung inflasi dan mengurangkan beban kos sara hidup yang dialami oleh ahli Keluarga Malaysia terutama golongan B40 dan M40.

“Di Terengganu pula, setakat 18 September lalu, JMKM telah menarik seramai 78,336 pengunjung dengan jualan melebihi RM2.5 juta. 

“JMKM dilaksanakan secara in-house di premis rakan strategik seperti pasar raya dan kedai runcit di Terengganu di mana setiap DUN telah diperuntukkan RM25,000 sebulan untuk pelaksanaan JMKM dua kali setiap bulan bagi tempoh 15 Ogos sehingga 31 Disember depan.

“Peruntukan ini digunakan untuk menawarkan harga murah dan diskaun kepada barangan keperluan terpilih seperti ayam, ikan dan hasil laut serta minyak masak,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya