Keberadaan Jho Low masih belum dikesan, sukar diekstradisi - Utusan Malaysia

Keberadaan Jho Low masih belum dikesan, sukar diekstradisi

jho low
Jho Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keberadaan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low masih belum dapat dikesan meskipun notis merah sudah dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) kepada 195 negara ahli bagi mengesannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, hal berkenaan sekali gus menyebabkan proses ekstradisi ahli perniagaan itu belum dapat dilakukan.

Kata beliau, sehingga kini usaha mengesan Low Taek Jho masih giat dijalankan dan segala maklumat mengenai keberadaannya diteliti kesahihan menggunakan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memfailkan 13 pertuduhan mahkamah terhadap Jho Low walaupun tanpa kehadirannya membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Selain PDRM, pihak berkuasa Singapura dan Amerika Syarikat juga menjalankan siasatan dan pertuduhan terhadap Jho Low,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, kata Acryl Sani, PDRM telah memohon Notis Merah sejak 2018 dan ia hanya boleh diakses oleh agensi penguat kuasa negara ahli memandangkan suspek tidak memudaratkan keselamatan awam berdasarkan penilaian Interpol.

“PDRM turut mengalu-alukan maklumat orang ramai berhubung lokasi suspek yang boleh disalurkan menerusi WhatsApp di talian 013-2111222 atau balai polis berhampiran.

“Maklumat yang diterima kelak akan disalurkan kepada Interpol untuk pengesahan lanjut dan PDRM komited untuk menahan suspek dan dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN