KASA buat persiapan awal hadapi banjir

KASA buat persiapan awal hadapi banjir

TUAN Ibrahim Tuan Man diberi penerangan mengenai Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun selepas melancarkan projek tersebut di Dungun, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)  mengarahkan semua jabatan dan agensinya membuat persiapan bagi menghadapi musim banjir yang dijangka tiba tidak lama lagi.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara tindakan yang dilakukan adalah pemasangan pam air, penyelenggaraan pintu air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memastikan  semua aset dapat digunakan sekiranya berlaku banjir nanti.

“Terdapat ratusan kawasan kerap berlaku banjir di kenal pasti di seluruh negara. Ada kawasan kita pasang pam air bergerak, ada kita pasang pam air kekal dan kita juga selenggara pintu air sebelum menghadapi musim tengkujuh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di sini, hari ini.

Selain itu, Tuan Ibrahim memberitahu, KASA sedang membina kira-kira 50 empangan sabo secara berperingkat di kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air di seluruh negara.

Katanya, empangan tersebut berfungsi sebagai penahan puing termasuk bongkah batuan dan kayu serta melambatkan aliran air, akan dapat mengurangkan impak tragedi kepala air.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, projek pemulihan muara sungai yang bernilai RM242.97 juta itu bermula pada 26 September ini dan dijangka siap pada Mac 2027.

Menurutnya, pembinaan projek tersebut bagi mengatasi kejadian mendapan di muara sungai tersebut  yang tidak selamat untuk navigasi bot nelayan dan pelancong ke Pulau Tanggol dekat sini.

“Skop utama projek tersebut termasuk kerja pengorekan alur navigasi, pembinaan struktur pemecah ombak, pembinaan struktur dinding penahan lapis lindung pantai  dan lampu arah suar,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya