TASEK GELUGOR: Penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia membuktikan komitmen berterusan UDA Holdings Berhad (UDA) selaku syarikat peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan dalam menggiatkan aktiviti keusahawanan serta sosioekonomi setempat.
Selepas dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Odeon Walk, Kuala Lumpur bulan lepas, Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini menjadi lokasi kedua penganjuran karnival selama tiga hari itu bermula 16 September lalu.
Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, Pulau Pinang khususnya Tasek Gelugor dipilih kerana kawasan itu menempatkan ramai usahawan serta peniaga-peniaga kecil yang menjalankan pelbagai perusahaan khususnya kecil dan sederhana.

Katanya, jika di Kuala Lumpur terdapat kira-kira 200 usahawan yang mengambil bahagian, sambutan di sini juga tidak kurang hebatnya apabila seramai 195 usahawan turut serta termasuk 10 usahawan ‘food truck’.
“UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan keluarga usahawan terus berdaya saing dan berupaya untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang semakin pulih.
“Inisiatif ini juga diharap dapat menggalakkan penglibatan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan daripada golongan wanita khususnya suri rumah seperti siswazah dan sebagainya.
“Sasaran penglibatan wanita, belia serta graduan ini pula diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di sini, baru-baru ini.
Selain Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, siri jelajah karnival itu akan singgah ke Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang pada 8 hingga 10 Oktober; Angsana Ipoh Mall di Perak (4 hingga 6 November) serta Angsana Johor Bahru Mall, Johor pada 21 hingga 23 Oktober.
Sementara itu, bersempena dengan pelancaran Karnival UDA USHAniaga di Pulau Pinang, UDA turut menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 kepada empat usahawan asnaf tempatan yang masing-masing RM5,000.
Seramai 80 peniaga pasar karat di sekitar Tasek Gelugor juga menerima khemah mudah alih bagi memudahkan menjalankan perniagaan terutama ketika musim hujan pada majlis pelancaran itu.
Pada masa sama, acara Larian ‘Life’ (Fun Run) yang diselaraskan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Anak Pulau Pinang turut diadakan pada sebelah pagi hari kedua dalam usaha memeriahkan penganjuran karnival berkenaan di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Norliza memberitahu, pihaknya tidak meletakkan sasaran jualan untuk karnival yang berlangsung di Pulau Pinang walaupun jumlah jualan keseluruhan yang direkodkan di Kuala Lumpur sebelum itu hampir mencecah RM2 juta.
Katanya, apa yang penting ialah nilai jualan yang memberangsangkan dalam membantu meningkatkan pendapatan usahawan di negeri ini.
“Rata-rata usahawan ketika ini bukan sahaja mahir dalam menghasilkan produk, namun.mereka semakin kreatif dari segi pembungkusan untuk menarik minat pembeli.
“Di Tasek Gelugor umpamanya, kita dapati terdapat kelainan apabila banyak produk kesihatan berasaskan herba dijual usahawan kecil dan pembungkusan produknya juga amat kreatif.
“Produk-produk seperti ini sebenarnya boleh diketengahkan untuk pergi lebih jauh (eksport) bagi membolehkan usahawan-usahawan ini menjana pendapatan lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










