TANAH MERAH : Walaupun usianya baharu menginjak tujuh tahun, riak wajah Mohd. Farhan Irshad Mohd. Azim tenang menunggu giliran untuk dikhatan Program Sunaton Amal Masjid Al-Mustaqim Alor Pasir 2020 bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Mohd. Farhan Irshad berkata, dia sama sekali tidak takut malah sudah bersiap sedia untuk dikhatankan secara beramai-ramai.
“Saya menjadi lebih berani apabila abang Mohd. Akash Iqram, 12, turut dikhatankan bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, kesemua anak-anak ini diarak menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal berkuasa tinggi serta dimandikan secara beramai-ramai sebagai simbolik sebelum dikhatankan.
Sementara itu, pengelola majlis, Wan Ahmad Zairi Wan Ibrahim memberitahu, program yang mendapat kerjasama daripada 11 NGO itu bertujuan membantu kanak-kanak lelaki keluarga miskin dan asnaf untuk berkhatan.
“Kos untuk berkhatan ketika ini dianggarkan berjumlah RM70 hingga RM100 seorang. Disebabkan itu, ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak berkemampuan.
“Dengan adanya program ini kami tanggung semuanya, daripada kos berkhatan sehinggalah kelengkapan lain seperti kain pelikat, ubatan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN










