Kampung Iboi 'menangis' lagi - Utusan Malaysia

Kampung Iboi ‘menangis’ lagi

KEADAAN Jambatan Bailey yang dibina dua bulan lalu turut rosak dan berubah kedudukan akibat dilanda banjir kali ketiga ekoran hujan lebat di Kampung Iboi, Kupang, Baling petang kelmarin. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Selepas 62 hari tragedi kepala air serta banjir lumpur dan seminggu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke kawasan bencana di Kampung Iboi di sini, kejadian hampir serupa dalam skala lebih kecil berulang lagi.

Namun, berbanding kali ke­dua sekitar akhir Julai lalu, arus deras dari hulu Sungai Kupang yang terletak di kaki Gunung Inas kali ini tetap kuat apabila merosakkan struktur Jambatan Bailey dan jalan raya yang bersambungan dengannya.

Jambatan sepanjang 27.43 meter dan lebar sehingga 5.49 meter yang mampu menampung ketahanan berat kenderaan sehingga lima tan itu didapati berubah sedikit daripada kedudukan asal selain senget dipercayai akibat rempuhan air deras.

Banjir akibat hujan lebat bermula kira-kira 5 petang kelmarin itu bukan sahaja merosakkan fasi­liti berkenaan tetapi rumah penduduk yang menjadi mangsa pada tragedi besar 4 Julai lalu dan masih sedang dibersihkan turut dilanda banjir sekali lagi.

PENDUDUK Kampung Iboi, Abdul Rahman Ahmad, 70, termenung sambil membersihkan barangan yang rosak di kedai runcit miliknya yang terjejas teruk akibat dilanda banjir lumpur kali ketiga dalam tempoh dua bulan di Kupang, Baling.

Seramai 130 penduduk daripada 37 keluarga juga terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Padang Empang dan Masjid Al Huda, Kampung Hangus yang dibuka sejak semalam ekoran rumah mereka dimasuki air.

Malah, penduduk mendakwa sekiranya 17 buah rumah di Kampung Iboi yang lenyap dalam tragedi sebelum ini masih terletak di kedudukannya, tidak mustahil kediaman itu akan turut dibawa arus sekali lagi.

Selain Kampung Iboi, seba­nyak 13 kampung dan taman perumahan yang melibatkan 74 unit rumah dikenal pasti terjejas kali ini termasuk Kampung Bendang Bechah; Kampung Hangus; Kampung Bendang Padang; Kampung Tok Saba; Kampung Masjid Iboi; Kampung Lata Chelak dan Kampung Tanjung Nering.

Taman Bayu Sejahtera, Kampung Sungai Batu, Taman Bayu Indah 1, Taman Bayu Indah 2 dan Taman Bayu Permai yang terletak berdekatan sungai berhampiran Pekan Baling turut dilaporkan dinaiki air akibat banjir terbabit.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI), Dr. Mohd. Syuhaimi Zakaria berkata, walaupun sudah tiga kali banjir di situ berlaku, masih tiada apa-apa tindakan drastik diambil untuk mengurangkan risiko bencana.

Sementara itu, Idris Rahman, 63, berkata: “Ketika kejadian saya berada di hadapan rumah untuk melihat keadaan sekeliling kerana bimbang jika air Sungai Kupang naik lagi. Kemudian saya lihat arus sungai amat deras melimpahi Jambatan Bailey dan ada sisa-sisa kayu-kayu balak tersangkut di situ”.

Menetap di Kampung Iboi, jelasnya, air mulai naik ke tebing sungai apabila benteng pasir yang dibina sebelum ini pecah sehingga membentuk seakan-akan satu lagi anak sungai di belakang rumah penduduk kampung.

Penduduk Kampung Padang Empang, Siti Mariam Abdul Isa, 70, berkata, ketika dia berada di rumah sekitar pukul 5 petang kelmarin, anak-anaknya secara tiba-tiba menjerit memberitahu Kampung Iboi dilanda banjir lagi.

“Saya tak tunggu lama dan segera menyelamatkan bara­ngan rumah termasuk perabot dan beberapa barang lain ke tempat yang lebih tinggi tetapi tidak sempat selamatkan peti ais dan mesin basuh yang jatuh ke dalam air.

“Malah, pada awalnya saya tak sampai hati hendak menyelamatkan diri seorang sahaja, saya dan anak-anak tunggu pasukan ke­selamatan datang menyelamatkan saya dan suami, Saad Md. Piah, 70, yang sedang terlantar sakit akibat strok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya