Kalau ada bakat, usia bukan halangan – Jeff Abdullah - Utusan Malaysia

Kalau ada bakat, usia bukan halangan – Jeff Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGUKIR pengalaman dalam bidang muzik sejak 30 tahun lalu, memberi keyakinan kepada Jeff Abdullah untuk meneroka peluang baharu dengan lebih serius.

Tidak malu atau kekok menggelarkan diri sebagai bakat baru, Jeff menganggap, peluang itu sebagai takdir yang tertulis, meskipun baru kini menemui jalan untuk mengembangkan kerjaya seninya.

Kata anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini, walaupun ada yang menganggap usia 47 tahun sudah terlalu lewat untuk mengejar impian, baginya ia bukan penghalang. Dia percaya, bakat mampu membawanya pergi jauh.

“Saya sedar, orang akan kaitkan dengan usia, tambahan pula saya dilihat hendak bertatih menjadi artis arus perdana ketika mencecah 47 tahun. Kenapa tidak dulu lagi? Sebenarnya, bukan tidak pernah mencuba.

“Sudah pelbagai pertandingan nyanyian saya sertai, termasuk program popular seperti Akademi Fantasia (AF) dan Malaysian Idol, namun rezeki tidak menyebelahi.

“Tambahan pula, ketika itu, saya masih terikat dengan kerja tetap. Jadi, tidak boleh sepenuhnya memberi tumpuan pada komitmen nyanyian,” katanya.

Kongsi Jeff, hasrat untuk menghasilkan single pertama sebagai pengenalan kepada peminat muzik sudah lama bertunas di sudut hatinya.

Cuma, ketika dia merancang untuk melancarkannya pada tahun 2020, dunia pula dilanda pandemik Covid-19.

Pun begitu, ia tidak melemahkan semangatnya untuk melancarkan single perdana, Daun Semalu, baru-baru ini. Jeff meletakkan harapan, masih ada ruang untuk dia meluaskan bakat kepada semua pendengar.

“Saya percaya apabila seseorang ada bakat, tidak kira berapa usianya, orang tetap mahu melihat dia menyanyi. Begitu juga apabila ada yang beranggapan, tiada rupa dan pakej, susah untuk kita mendapat perhatian.

“Saya percaya, seseorang itu akan menyinar jika ada bakat. Cuma, peminat kena beri ruang untuk mereka buktikan. Hal yang sama juga saya harapkan, berikan saya peluang untuk serlahkan bakat nyanyian yang ada,” katanya.

IMBAU NOSTALGIA

Jeff berkata, dia akur akan wujud persoalan tentang sejauh mana dirinya yakin untuk bersaing dengan artis muda atau lebih senang digelar sebagai Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU). Apalagi, ketika ini, mereka mendominasi industri, sesuai dengan perkembangan semasa.

“Bagi saya, BBNU ada cara mereka tersendiri dan saya pula mempunyai cara tersendiri. Sebagai contoh, saya kekalkan genre balada rock balada seperti muzik era 1990-an menerusi Daun Semalu.

“Tidak ramai, bahkan mungkin tidak ada penyanyi muda yang membawakan genre begini. Jadi, saya pasang strategi untuk membawakan lagu seperti ini. Lagi pun, jika dilihat, semakin banyak lagu lama dikembalikan menerusi platform TikTok.

“Trend itu sudah ada dan saya percaya, muzik ini mempunyai kelompok pendengar yang tersendiri. Disebabkan itu, saya hadir dengan lagu ini kerana ia masa yang sesuai untuk memperkenalkannya,” katanya.

Tambah Jeff, lagu yang mempunyai elemen muzik era 1990-an dapat menyuntik nostalgia kepada pendengar.

“Ramai yang kata, lagu era itu lebih menusuk jiwa dan membawakan memori lama kepada pendengar. Itu yang kita mahukan.

“Saya tidak fikir untuk bersaing dengan mana-mana artis. Saya cuma mahu penggemar muzik tahu lagu ini, selain mengumpul peminat sendiri,” katanya yang turut menghasilkan video muzik mengambil latar belakang beberapa lokasi di kampung halamannya di Teluk Intan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya