ALOR SETAR: Penetapan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya boleh ditentukan oleh jemaah Kabinet dan bukannya mana-mana pihak luar termasuk UMNO.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO hanya sebahagian kecil yang mewakili Kabinet dengan selebihnya dianggotai oleh Perikatan Nasional (PN).
Justeru, katanya, menteri-menteri UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah satu-satunya pihak yang membuat apa jua keputusan Kabinet terutama soal pilihan raya.
“Perdana Menteri susah nak tetapkan tarikh PRU kerana kalau ikut perlembagaan, yang boleh letakkan tarikh adalah Kabinet.
“Kabinet bukan majoriti UMNO, Kabinet majoriti Perikatan Nasional (PN) termasuk parti Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar Muktamar Pas Ke-68 hari ini.

Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO minggu lalu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa PRU15 perlu diadakan dengan segera dan telah memberi panduan kepada Ismail Sabri mengenai tarikh PRU15 sesuai.

Namun, Abdul Hadi menyifatkan Ismail Sabri Yaakob tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan Parlimen.
“Perdana Menteri tak boleh sebarangan, tak boleh bergantung kepada resolusi Perhimpunan Agung UMNO semata-mata,” katanya. – UTUSAN