Jual kad NFC TnG lebih 5 kali ganda, penjual dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Jual kad NFC TnG lebih 5 kali ganda, penjual dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menjual sekeping kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG) lebih lima kali ganda berbanding harga asal RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) menerusi platform pasaran dalam talian.

Itu kegiatan seorang pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak yang dikesan hasil siasatan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  (KPDNHEP) berikutan rungutan rakyat berhubung kesukaran mendapatkan kad berkenaan.

Ia susulan bekalan terhad di semua saluran.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kesukaran mendapatkan bekalan melalui premis stesen minyak terpilih atau menerusi transaksi dalam talian, menggunakan aplikasi TnG seperti diuar-uarkan bagaimanapun membongkar wujud penjualan kad NFC di beberapa platform pasaran dalam talian sejak kebelakangan ini dengan harga berlipat kali ganda.

Kata beliau, pihaknya menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC, selain mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platform dalam talian bagi tempoh April hingga 25 September lalu.

Beliau menjelaskan, berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran  dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.

“Pasca pemeriksaan awal, sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi dikemukakan kepada Bahagian Penguat  Kuasa KPDNHEP.

“Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan pengurusan kanan kementerian seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG, yang dijangka berlangsung minggu ini.

Katanya, pertemuan berkenaan antara lain bertujuan mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna.

Pada masa sama jelasnya, orang ramai boleh terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada  Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP berhubung isu sama untuk tindakan lanjut melalui WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000; Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

“Sebarang perkembangan mengenai hasil pertemuan antara KPDNHEP dengan syarikat TnG akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya