Johor jadi penentu terajui Putrajaya - Rafizi

Johor jadi penentu terajui Putrajaya – Rafizi

RAFIZI Ramli ditemui pada Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor bakal menjadi penentu bagi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, Johor yang mempertandingkan 26 kerusi Parlimen menjadi tumpuan setiap kali PRU kerana memberi impak besar dalam usaha membentuk kerajaan Persekutuan. 

Dakwanya, PKR dan PH dilihat berpotensi menang di negeri ini kerana sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN masih tidak berubah sejak PRU14.

“Walaupun UMNO nampak menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tetapi itu tidak melambangkan keadaan sebenar sokongan dan prospek dalam PRU akan datang kerana sokongan terhadap UMNO pada PRN Johor tidak melepasi sokongan pada 2018 (PRU14).

“Undi terhadap UMNO masih lagi sekitar 41 atau 42 peratus, maksudnya majoriti pengundi yang keluar menolak UMNO dan itu pun dalam 55 hingga 57 peratus sahaja pengundi yang keluar mengundi dalam PRN Johor.

“Keputusan PRN Johor pada Mac lalu tidak boleh dijadikan penanda aras kekuatan BN kerana rakyat sedar itu tidak mengubah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Jadi, ia bukanlah ukuran sebenar untuk hadapi PRU15,” katanya selepas Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru di sini, malam tadi.

Rafizi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, rakyat Johor tidak boleh mengambil mudah tanggungjawab masing-masing dalam menentukan pemimpin yang akan memerintah negara selepas ini.  

Perkara itu adalah faktor utama beliau dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor bagi membantu parti menjaga kepentingan di negeri ini.

“Di Malaysia kerusi Parlimen paling banyak adalah di Sarawak, iaitu 31 kerusi, kedua adalah Johor (26 kerusi) diikuti Sabah (25 kerusi). Kalau kita nak ubah negara dan tukar kerajaan di Putrajaya, puncanya mesti datang dari Johor, tidak ada cara lain.

“Mana-mana parti politik sama ada PKR, UMNO, BN, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau PN, tiada gabungan politik di negara ini yang boleh jadi kerajaan di Putrajaya kalau tak menang kerusi-kerusi Parlimen di Johor,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, banyak faktor mempengaruhi keputusan PRN Johor sehingga sukar untuk mengenal pasti punca utama kekalahan PH sama ada pengundi tidak keluar mengundi atau disebabkan pengundi atas pagar.

“Kita dapati undi rendah kepada PH terutama dalam kalangan orang Melayu, kita tidak boleh beritahu dan yakin 100 peratus faktor undi rendah kerana (orang Melayu) sudah beralih sokongan atau penyokong atas pagar tidak keluar mengundi, ini dua faktor berbeza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya