DENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita 7,457 unit barangan elektrik dan peralatan telekomunikasi pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM4.6 juta dipercayai diseludup masuk tanpa sijil perakuan kelulusan (CoA) dari Suruhanjaya Tenaga (ST).
Pengarah Bahagian Pengurusan Pematuhan JKDM, Wan Saadah Mohamed Muhibbuddin berkata, kesemua barangan berkenaan dirampas menerusi serbuan yang dijalankan Cawangan Siasatan Khas JKDM pada 26 Ogos lalu di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut beliau, antara barangan elektrik yang dirampas adalah pembersih hampagas tanpa wayar, pembersih udara pintar, pembesar suara pintar dan kipas pintar.
Manakala alatan telekomunikasi dan multimedia pelbagai jenama yang dirampas membabitkan telefon pintar, alat permainan video, jam pintar, kotak android serta kamera litar tertutup.
“Jumlah keseluruhan rampasan barangan elektrik menerusi serbuan ini sebanyak 2,755 unit yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta dan sebanyak 4,705 unit peralatan telekomunikasi bernilai RM3.2 juta.
“Kita mengesyaki modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat pengikraran Borang Kastam Import tidak benar dari segi nama pengimport dan butiran dagangan bagi mengelirukan pegawai penaksir untuk tujuan pelepasan dagangan,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau yang memangku tugas Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) itu berkata, alatan telekomunikasi yang dirampas seharusnya memerlukan permit import daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan SIRIM Berhad semasa diimport ke negara ini.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, borang pengisytiharan barangan rampasan berkenaan diisytihar sebagai alat tulis.
Bagaimanapun beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat ketika serbuan dijalankan di gudang yang dipercayai telah beroperasi selama dua tahun itu.
“Penyeludup yang membawa masuk barangan tanpa mendapatkan CoA ini sebenarnya ada banyak faktor antaranya mungkin barangan diimport masuk itu tidak dijamin keselamatan,” ujarnya.
Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang terlarang yang boleh dikenakan denda bagi kesalahan pertama tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Wilayah ST, Mohd Elmi Anas berkata, kesalahan tersebut membabitkan Peraturan 97 Peraturan-Peraturan Elektrik 1997 yang membawa denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.
“Alat ini semua tidak selamat dan akan dilupuskan, kalau kita tengok barangan ini tidak ada SIRIM maka kita anggap ia tidak selamat,” katanya. – UTUSAN