Jentera JR mampu jadi pemangkin kemenangan BN

Jentera JR mampu jadi pemangkin kemenangan BN

ORANG ramai menyusuri sungai pada majlis perasmian Program Denai Sungai Bersama Komuniti Kampung di Sungai Melayu, Iskandar Puteri . - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Keupayaan Barisan Nasional (BN) menyantuni pengundi baharu menerusi jentera Jalinan Rakyat (JR) diyakini mampu menjadi faktor pemangkin kejayaan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Kerja UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, ini kerana jumlah pengundi baharu akan terus bertambah setiap bulan secara automatik sehinggalah Parlimen dibubarkan.

Katanya, jentera JR perlu bekerja dengan lebih kuat bagi mengenal pasti kecenderungan pengundi muda untuk menarik sokongan mereka terhadap parti.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kita mempunyai kira-kira 117,000 pengundi di Kota Iskandar, kini angka itu meningkat kepada lebih 120,000 pengundi baharu.

“Pendekatan untuk mendekati pengundi muda ini berbeza, kerana mereka tidak begitu ke arah memilih parti. Mereka lebih senang jika parti mendekati dan mengadakan program yang memenuhi minat mereka.

“Daripada situlah kita mendekati mereka, mendengar suara dan hasrat mereka. Oleh itu, JR kena kerja kuat untuk menawan pengundi muda ini untuk bersama-sama parti membentuk kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Denai Sungai Bersama Komuniti 2022 di Dewan Raya Kampung Sungai Melayu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Mengenai persiapan parti menjelang PRU15, Pandak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berkata, jentera UMNO sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, pergerakan jentera parti lebih berkeyakinan dan bersemangat tinggi selepas sesi libat urus bersama-sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bulan lalu.

“Kita di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri sudah bersiap sedia, hanya menunggu butang ditekan sahaja. Maknanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum sahaja bubar, kita dah boleh mula.

“Tambahan pula kita baru lepas PRN, semangat juang itu masih tinggi dan yakin akan mampu membantu parti mencapai kejayaan yang besar,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya