JOHOR BAHRU: Semua pihak digesa mengambil pendekatan lebih serius terhadap jenayah penderaan kanak-kanak yang berada pada tahap sangat membimbangkan.
Isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil agar kanak-kanak dapat dilindungi daripada terus menjadi mangsa.
Katanya, statistik Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menunjukkan sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di negara ini bermula Januari hingga Jun lalu.
“Saya mengambil maklum tentang kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai menjadi mangsa penderaan dan berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa di Selangor pada 16 September lalu.
“Impak penderaan sangat besar dari segi emosi dan fizikal bagi seseorang kanak-kanak. Trauma yang dihadapi oleh kanak-kanak akan menyebabkan mereka sukar untuk menjalani kehidupan normal pada masa akan datang.
“Justeru, saya menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, penjaga, guru, pengasuh, JKM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, kerajaan dan polis untuk mengambil pendekatan lebih serius terhadap jenayah penderaan ini,” katanya hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan penderitaan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai didera berakhir apabila diselamatkan di Kondominium Jalan Cahaya, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.41 petang itu, Jabatan bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan bagi membantu menyelamatkan kanak-kanak tersebut yang terperangkap di dalam sebuah bilik.
Che Puan Besar Khaleeda bberkata, penderaan kanak-kanak didefinisikan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat selain menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.
“Kanak-kanak adalah permata dalam kehidupan dan jika kita sebagai orang dewasa tidak melindungi mereka, siapa lagi akan melindungi mereka,” katanya. – UTUSAN