BUKIT GANTANG: Wanita yang mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram seperti lelaki yang tular dalam media sosial baru-baru ini dicabar supaya tampil menjelaskan perbuatannya itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, isu itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Menurutnya, wanita terbabit tidak sepatutnya bersembunyi sekiranya merasakan tindakannya itu betul.
“Sepatutnya dia kena beranilah sebab dia berani untuk tunjuk gambarnya, jadi hebatlah.
“Patutnya dah berani tunjuk depan Kaabah seolah-olah untuk provokasi maka kena beranilah untuk bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad sejauh tiga kilometer di sini hari ini.
Menurut Idris, usaha untuk mengesan wanita tersebut juga telah ďibuat dengan pihak berkuasa agama negeri namun sehingga kini masih belum membuahkan hasil.
Katanya, wanita itu perlu tampil dan memberi penjelasan serta bertanggungjawab atas perbuatannya itu.
“Berani untuk melakukan kena berani untuk bertanggungjawab atas perbuatan itu,” katanya.
Bulan lalu, seorang pengguna media sosial berkongsi video berdurasi 17 saat memaparkan seorang wanita memakai ihram merakam dirinya tawaf depan Kaabah dalam Masjidil Haram di Mekah.
Pengguna itu memuat naik video tersebut kerana kesal jemaah wanita itu menipu status jantina ketika berurusan untuk mengerjakan umrah. – UTUSAN










