PETALING JAYA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas jaringan keselamatan sosial kepada Sahabat Usahawan AIM menerusi caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
AIM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya dan Perkeso menyasarkan seramai 342,798 usahawan berdaftar dengan AIM untuk dicarum dan dilindungi dengan SKSPS.
Kata kenyataan itu, kolaborasi itu juga bakal menyaksikan AIM dilantik sebagai Ejen Korporat Perkeso bagi membantu merangsang dan menggalakkan Sahabat Usahawan AIM untuk mencarum dengan SKSPS, khususnya semasa mengemukakan permohonan pinjaman kewangan kepada agensi berkenaan.
AIM menjelaskan, pihaknya komited membantu Perkeso mempromosikan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2022 iaitu SPS Padanan Caruman kepada penerima biaya AIM dan SKSPS kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) dalam jelajah AIM di seluruh negara.
“Langkah serampang dua mata ini membolehkan Sahabat Usahawan AIM menerima manfaat pinjaman perniagaan di samping dapat memastikan mereka turut mendapat perlindungan keselamatan sosial.
“Selain mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala, kedua-dua agensi turut bekerjasama dalam usaha menambah cara pembayaran caruman SKSPS kepada Sahabat Usahawan AIM.
“Langkah ini akan dilaksanakan menerusi penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai oleh AIM Solutions Group Berhad (ASGB), iaitu penyedia kemudahan e-pay yang digunakan oleh Sahabat Usahawan AIM,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, satu MoU ditandatangani oleh Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Dalam pada itu, Shamir berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak asalkan ia dapat memberi manfaat kepada Sahabat Usahawan AIM.
“Dengan jumlah Sahabat Usahawan Aktif seramai 342,798 orang di seluruh negara, pastinya kerjasama yang terjalin ini akan memberi ruang kepada Sahabat AIM bagi memastikan mereka juga mendapat manfaat perlindungan Perkeso walaupun hanya bekerja sendiri atau membuka gerai goreng pisang di tepi jalan,” katanya.
Selain itu AIM sentiasa memastikan Sahabat Usahawannya mendapat manfaat melalui kerjasama strategik dibuat dengan mana-mana pihak terutama dalam usaha memperkasa lagi perniagaan Sahabat serta dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada golongan B40. – UTUSAN