BALING: Jambatan Bailey di Kampung Iboi ditutup kepada semua kenderaan serta pejalan kaki berikutan banjir yang melanda kawasan itu petang semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, penutupan itu ekoran terdapat kerosakan pada struktur jalan dan jambatan terbabit akibat limpahan air Sungai Kupang.
Selain itu katanya, sebanyak 27 buah rumah melibatkan 120 mangsa di Kampung Padang Empang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan kampung itu setakat malam tadi.
“Sehingga kini tiada insiden atau laporan melibatkan kehilangan ahli keluarga diterima polis dan cuaca didapati semakin baik serta hujan turut sudah berhenti.
“Pihak polis bersama agensi lain di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) berada di tempat kejadian bagi memantau perkembangan semasa,” katanya di sini.
Semalam, Utusan Online melaporkan beberapa kampung di Mukim Kupang termasuk Kampung Iboi, Padang Empang dan Tanjung Nering sekali lagi dilanda banjir dan aliran air deras petang semalam.
Malah, struktur Jambatan Bailey yang dipasang sementara bagi menggantikan jambatan konkrit yang hanyut pada tragedi 4 Julai lalu turut senget dan mengalami sedikit pergerakan daripada kedudukan asal.
Tambah Shamsudin, banjir turut melanda Taman Bayu Sejahtera berhampiran Pekan Baling, namun limpahan air telah surut sepenuhnya sekitar pukul 10 malam.
“Manakala di kawasan Jajaran Iboi hingga Kampung Hangus, setakat pemantauan pukul 10 malam tadi, air masih mengalir deras dan mungkin melanda kawasan taman-taman di Pekan Kupang,” katanya.
Ekoran itu, penduduk di Kampung Bendang Bechah dan Kampung Hangus khususnya dinasihatkan untuk berpindah demi keselamatan masing-masing.
“Hujan sejak kebelakangan ini tidak menentu menyebabkan air sungai mudah melimpah dan bimbang berlaku kecederaan dan kemalangan terutama pada waktu malam.
“Jadi jangan tunggu sehingga air masuk ke dalam rumah baru hendak keluar kerana kita bimbang mereka akan terperangkap dan menyukarkan anggota keselamatan untuk menyelamat,” katanya. – UTUSAN










