Jalan raya pintasan atasi kampung pupus

Jalan raya pintasan atasi kampung pupus

PAPAN tanda projek jalan pintasan FGV Terapai, Pekan ke Felda Mayam, Bera yang dijadualkan siap pada 13 Februari 2025. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Jalan raya pintasan dari Ladang FGV Holdings Berhad (FGV) Terapai dalam daerah ini ke Felda Mayam di Bera ke sepanjang 13.65 kilometer bernilai RM85 juta bakal mengatasi masalah kampung ‘mati’ di Mukim Penyor, Pekan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd. Sharim Md. Zain berkata, kerajaan telah merancang pembinaan jalan berkenaan bagi me­ningkatkan impak ekonomi dan sosial di daerah Pekan, Bera dan Maran.

Beliau berkata, projek itu telah dimulakan 14 Februari lalu dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 13 Februari 2025.

Beliau berkata, laluan itu turut membabitkan pembinaan tiga buah jambatan dan kontraktor bertanggungjawab me­laksanakan projek ialah Ehsan Pantas Sdn. Bhd.

“Jalan ini bagi kemudahan dan keselesaan penduduk serta menjimatkan masa masa perjalanan pengguna ke lokasi pilihan masing-masing.

“Jalan pintasan FGV Terapai, Pekan ke Felda Mayam dua lorong menjadi pemangkin kemajuan ekonomi dan sosial kepada penduduk di lokasi laluan,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia dalam laporan khas baharu-baharu ini menyenaraikan 10 kampung pupus atau kurang berpenduduk yang berada dalam Mukim Penyor dalam daerah Pekan.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharim berkata, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman telah melawat lokasi dan mendengar taklimat kemajuan projek tersebut pada 23 September 2021.

Jelasnya, apabila jalan ini siap kelak, ia akan memberikan impak positif kepada kampung yang kurang penduduk seperti Kampung Sungai Duri, Kampung Orang Asli Tanah Merah, Kampung Kincir, Kampung Salong, Kampung Sepaku, Kampung Sepagar, Kampung Air Hitam dan Kampung Sungai Mentiga.

Beliau berkata, jalan pintasan Terapai ini bersambung menghala ke timur hingga ke bandar Pekan, Lebuh Raya Kuantan-Segamat dan hala ke barat daerah Maran melalui jambatan Chenor.

Tambah beliau, menerusi rangkaian jalan raya yang baik, dijangka generasi baharu anak kampung akan terbuka hati kembali semula ke kampung asal nenek moyang mereka.

“Kampung-kampung tinggal dan kurang penduduk ini sangat sesuai didiami kerana memiliki landskap alam semula,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya