KUALA LUMPUR : Selebriti dan usahawan terkemuka, Noor Neelofa, mengakui, demi memberi kepuasan dan mengelak isu was-was dari kalangan pengguna, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan beberapa pakar khusus dalam memastikan produk keluarannya dihasilkan dengan kualiti yang tinggi.
Katanya, usaha itu dilakukan bagi memberikan keyakinan kepada semua pengguna terutama menerusi penghasilan produk terbarunya Drintox Pineapple Juice.
“Sebelum ini memang sudah ada yang bertanya mengenai produk ini dan memang kami promosikan ia sebulan awal bagi memperkenal dan mendedahkan terlebih dahulu kepada pembeli.
“Saya terima ‘sample’ awal detoks ini ketika saya baru sahaja mengandung. Cuma pada peringkat tersebut saya memang mahu melakukan pebagai kajian dan rujukan demi memastikan produk yang dihasilkan itu adalah yang terbaik dan tidak boleh diragui.
“Saya nak hasilkan sesuatu yang betul-betul selamat, tiada risiko untuk orang ‘cari pasal’ dengan kandungannya. Jadi daripada situlah kami giat melakukan ‘R&D’ secara teliti.
“Bila betul-betul puas hati barulah saya yakin untuk lancarkan. Sebab itulah daripada proses penghasilannya, ia ambil masa hampir setahun,” katanya.
Neelofa berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Drintox Pineapple Juice di Colony @ KL Eco City, baru-baru ini.
Selain itu, mengulas mengenai kritikan atau kecaman yang bakal diterima meski produk yang dihasilkan sudah terbukti baik, Neelofa memilih untuk terus bersikap rasional.
“Saya sedia maklum pasti akan ada yang pesimis dan sebab itulah pada majlis pelancaran ini, kita jemput juga wakil daripada pakar dalam bidang masing-masing untuk memberikan penerangan mengenai produk ini.
“Saya sudah sediakan semua ‘senjata’, sebelum ada pihak yang ‘serang’. Persediaan 360 darjah kata orang.
“Malah pihak saya turut melantik pakar untuk sama-sama kongsi informasi atau beri penjelasan kepada mana-mana pihak yang masih belum jelas dengan produk ini di kemudian hari,” katanya.
Dalam pada itu, Neelofa menaruh keyakinan terhadap produk baharunya itu yang telah menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh beberapa pakar sebelum ini.
Menjelaskan mengenai produk berkenaan, katanya, dia percaya Drintox akan mendapat sambutan yang baik daripada pengguna memandangkan bahan kandungannya juga terjamin selain memiliki khasiat yang bagus.
“Bagi saya kita berada di dalam sebuah negara majmuk yang secara langsung ia turut diterjemahkan menerusi kepelbagaian makanannya. Namun saya percaya kita sedia maklum ada di antara menu yang kita ambil itu ada yang bergoreng, berlemak, berminyak dan sebagainya.
“Jadi secara tak langsung akan timbul masalah pencernaan bagi kebanyakan orang. Sebelum ini saya ada keluarkan minuman botani dan daripada situ ia dilihat membantu ramai daripada segi melawaskan, kemudian timbul idea untuk fokuskan kepada detoks.
“Sudah semestinya saya merasakan akan ada permintaan yang tinggi untuk minuman seumpama ini dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk melancarkannya,”ujarnya.