PETALING JAYA: Malaysia perlu keluar daripada ‘dominasi’ dolar Amerika Syarikat (AS) bagi menstabilkan mata wang ringgit dengan bersandarkan kepada
emas melalui sistem Bretton Woods.
Ini kerana negara tidak mempunyai sebarang cagaran wang ringgit disebabkan kebanyakan negara di seluruh dunia menyimpan mata wang disokong oleh dolar Amerika Syarikat dan bukannya emas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, sistem tersebut dilihat lebih menjamin kekukuhan nilai mata wang termasuk ringgit selain emas bersifat ‘kalis inflasi’.
Beliau berkata, langkah itu adalah berkesan berbanding menambat ringgit yang disifatkan sebagai strategi lama dan berisiko buruk untuk Malaysia jika melakukannya sekali lagi seperti tahun 1997.
Menurutnya, kesemua rizab negara yang dianggarkan bernilai RM500 bilion disimpan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam bentuk dolar Amerika Syarikat perlu ditukar kepada emas kerana ia merupakan logam paling bernilai dalam jangka panjang.
“Semua negara dunia bergantung kepada dolar Amerika Syarikat dan simpanan rizab juga dalam mata wang yang sama, jadi, negara-negara ini
apabila berurus niaga menggunakan dolar dan bukanlah emas,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sistem Bretton Woods berfungsi mengekalkan emas sebaai nilai asas mata wang, iaitu setiap negara perlu mempunyai dasar monetari bagi sistem pertukaran nilai mata wang yang ditetapkan yang ditambat dengan nilai emas sebagai nilai tara.
Dalam wawancara eksklusif Utusan Malaysia bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jun lalu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mem pertimbang untuk melaksanakan tambatan mata wang bagi menangani ketidaktentuan nilai ringgit seperti Krisis Kewangan Asia 1997.
Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana berisiko besar sebaliknya kekal mengikut dasar monetari mata wang negara yang menjadi asas bagi tambatan ringgit.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latif berkata, alternatif kepada tambatan ringgit
ialah mengurangkan kebergantungan import dan menambah pasaran domestik.
“Saya tidak nampak kerajaan akan meletakkan tahap tertentu sebelum menambat ringgit, tetapi kita boleh mengambil kesempatan atas kelemahan
ringgit untuk manfaat negara dengan memberi tumpuan kepada domestik.
“Negara tidak mempunyai rizab yang besar jika menambat ringgit, ini juga akan menjejaskan keyakinan pelabur sebab rancangan mereka terjejas,” katanya.
Pensyarah Ekonomi City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berkata, Bank Negara dilihat tidak membuat intervensi untuk membeli
semula wang Malaysia yang mengalir di luar negara ketika nilainya semakin menyusut.
“Sekarang macam tiada usaha ke arah itu, kerajaan cuma perhatikan sahaja. Kita juga mahu tahu apakah langkah lain yang boleh dilakukan untuk
pastikan pengedaran dan kejatuhan nilai ringgit ini dipertahan? Sekurang-kurangnya kita stabil,” katanya. – UTUSAN










