JOHOR BAHRU: Seorang tukang masak yang dimasukkan ke wad Hospital KPJ Pakar Puteri di sini sejak tiga hari lalu jadi ‘sihat’ apabila dapat menyaksikan perlawanan akhir Piala FA secara langsung malam tadi.
Dia dapat menyaksikan pasukan kegemarannya, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu yang disiarkan secara langsung di lobi hospital berkenaan.
Harmanandah Sablu, 40, yang mengalami kesakitan berkaitan telinga dan hidung sebelum ini dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan.
“Dua hari pertama saya dimasukkan ke hospital, saya hanya terbaring di dalam bilik kerana berasa tidak sihat.
“Malam ini (tadi), saya ke kedai serbaneka, alangkah terkejutnya apabila mendapati ruang lobi hospital disusun atur dengan skrin besar bagi membawa siaran secara langsung perlawanan akhir Piala FA.
“Menyedari perkara itu, saya mengajak isteri dan anak-anak datang ke hospital bagi sama-sama menyaksikan perlawanan akhir tersebut,” katanya.
Harmanandah yang berasal dari Sabah turut memberitahu, pengalaman tersebut dirasakan seperti sedang menonton perlawanan akhir di kedai mamak kerana suasananya yang meriah.
“Walaupun saya berasal dari Sabah, saya amat meminati pasukan bola sepak JDT, lebih-lebih lagi setelah menetap di sini, dan saya juga telah menyaksikan perlawanan JDT di stadium beberapa kali,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Pakar Puteri, Hazarul Azly Hamzah berkata, inisiatif mengadakan skrin besar bagi tayangan bola adalah pertama kali dilakukan pihaknya.
“Ia bertujuan memberi suntikan keceriaan dan sokongan terhadap pesakit yang juga penggemar bola sepak untuk sama-sama merasai kemeriahan menonton beramai-ramai meskipun sedang dirawat di hospital.
“Pihak hospital turut menyediakan cabutan nombor bertuah bagi memeriahkan program dan berhasrat melakukan lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan JDT kerana menjuarai Piala FA setelah menundukkan Terengganu 3-1. – UTUSAN










