Jabatan Peguam Negara tidak jawab representasi Abdul Azeez

Jabatan Peguam Negara tidak jawab representasi Abdul Azeez

ABDUL Azeez Abdul Rahim (tengah) ketika di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menjawab empat representasi yang dikemukakan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memaklumkan, pihak pendakwaan tidak menerima sebarang arahan untuk memberi maklum balas terhadap representasi berkenaan walaupun kertas siasatan dan minit telah ditaklimatkan kepada Peguam Negara.

Ujar Aslinda, kertas siasatan dan minit berkenaan diterima daripada pengarah kanan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, pihaknya hanya menerima arahan agar hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan yang telah dijadualkan untuk diumumkan hari ini.

“Kami hanya terima daripada SPRM pada 2 September lalu dan perkara ini telah diangkat kepada Peguam Negara, tiada sebarang arahan untuk menjawab representasi,” ujarnya.

Aslinda memaklumkan demikian ketika ditanya perkembangan representasi yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Baling itu dalam prosiding rayuan bagi membatalkan 13 pertuduhan yang dihadapinya.

Terdahulu Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said mempersoal mengapa pihak pendakwaan mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi maklum balas terhadap representasi.

Beliau yang mengetuai panel tiga hakim bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali berkata, mahkamah dimaklumkan representasi tidak dijawab hingga hari ini.

“Apa yang kamu buat ni, orang tulis pada kamu sekurang-kurangnya jawablah. Kalau tolak, tolaklah. Orang sudah hantar lama sangat,” ujar Hakim Kamaludin.

Panel itu kemudian menyampaikan keputusan selepas merekodkan bahawa `status quo’ representasi kekal tidak dijawab.

Terdahulu, ketika mahkamah mula bersidang, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez membangkitkan isu bahawa pihaknya masih menunggu jawapan representasi daripada AGC.

Ujarnya, representasi itu penting kerana ia menyertakan deklarasi daripada beberapa saksi utama pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Aslinda menyatakan, kedua-dua pihak telah berhujah membangkitkan persoalan undang-undang sebelum ini, jadi representasi tidak memberi kesan kepada keputusan yang diumumkan.

Pada prosiding itu, mahkamah menolak permohonan Abdul Azeez untuk bersuara bagi menjelaskan salah tanggapan dalam laporan media berhubung ketidakhadiran beliau pada prosiding 26 Ogos lalu.

Hakim Kamaludin memberitahu, mahkamah tidak mahu membuang masa dan peringkat itu bukan forum yang sesuai untuk beliau bersuara, lagipun perayu mempunyai peguam untuk berhujah bagi pihaknya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya