Isu logo Pas bukan perkara kecil

Isu logo Pas bukan perkara kecil

KAMARUDIN SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasca Muktamar Tahunan Pas kali Ke-68, kepemimpinan tertinggi parti perlu menyedari bahawa isu penggunaan logo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang enteng.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, pendirian sama ada menggunakan logo sendiri ataupun kekal dengan keputusan bertanding di atas tiket Perikatan Nasional (PN) dilihat menjadi ‘kayu ukur’ kepada prestasi Pas pada PRU15.

Jelasnya, maka tidak hairanlah seandainya ‘negeri-negeri besar’ seperti Terengganu, Kelantan serta Kedah turut menuntut penggunaan logo sendiri, kerana tidak mahu episod pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor berulang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga menyokong penuh usaha Terengganu, Kelantan dan Kedah yang menuntut PRU15 akan datang untuk guna logo parti sendiri.

“Bahkan bagi saya juga, ia perlu diperluaskan kesemua negeri supaya tidak berlaku seperti di PRN Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Pas akan memperinci cadangan penggunaan logo sendiri untuk PRU15 bagi setiap negeri di peringkat Majlis Syura Ulama, sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk diputuskan minggu depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain penggunaan logo bulan di tiga negeri di bawah pimpinan Pas, parti juga akan mempertimbang permintaan negeri lain yang menyuarakan hasrat sama.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan masa depan Muafakat Nasional (MN), Kamarudin menjelaskan, secara am Pas masih bersifat terbuka untuk meneruskan MN seperti mana diutarakan melalui ucapan dasar Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya lagi, Pas dan UMNO perlu melakukan ‘gencatan senjata’ kembali ke meja perundingan yang telah lama terhenti.

“Iaitu Pas sedia berbincang dengan semua pihak ke arah perpaduan umat. Perkara ini juga diperkukuhkan lagi oleh usul yang dibawa oleh wakil Dewan Ulama Pas Pusat yang menekankan penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu Islam.

“Usul tersebut telah diluluskan, cuma bagi saya terserah kepada kebijaksanaan pihak kepemimpinan parti bagaimana ia perlu dipraktikkan. Saya rasa itu adalah suara majoriti perwakilan demi kepentingan Islam dan Pas itu sendiri,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×