BALIK PULAU : Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man diingatkan supaya menjadi seorang Menteri Persekutuan, bukannya Menteri Pas semata-mata berhubung isu bekalan air mentah antara Pulau Pinang dan Kedah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebagai seorang Menteri Persekutuan, Tuan Ibrahim perlu memastikan semua negeri mempunyai bekalan air yang mencukupi dan memainkan peranan menangani mana-mana kelemahan sekiranya wujud di negeri-negeri.
”Saya rasa menteri berkenaan (Tuan Ibrahim) perlu lihat dirinya sebagai Menteri Malaysia (Kerajaan Persekutuan), bukannya menteri Pas, sebab satu pihak melibatkan kerajaan negeri dan satu lagi melibatkan negeri di bawah pimpinan Pas.
”Beliau sebagai menteri Persekutuan bertanggungjawab memastikan semua negeri ada sumber air mentah yang cukup dan memainkan peranan untuk menanganinya sekiranya ada kelemahan di mana-mana negeri, itulah tanggungjawab seorang menteri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, sehingga kini Kerajaan DAP Pulau Pinang masih enggan membayar royalti bekalan air mentah sebagaimana dituntut oleh Kedah.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, Pulau Pinang wajar memikirkan pengorbanan Kedah memelihara hutan simpan semata-mata menjaga keaslian sumber air.
Dalam pada itu, Kon Yeow mempersoalkan sama ada kenyataan Tuan Ibrahim itu mengiktiraf atau mengakui dari segi undang-undang Pulau Pinang tidak mempunyai tanggungjawab terhadap bekalan air Sungai Muda.
”Kita tidak boleh lepas daripada konvensyen antarabangsa yang mengawal penggunaan air apabila sumbernya melintasi beberapa negara atau negeri.
”Jadi saya anggap kenyataan ini mengesahkan hak undang undang Pulau Pinang untuk menggunakan sumber air mentah dari Sungai Muda,” katanya.
Tambahnya, Pulau Pinang tidak akan berhenti menyuarakan mengenai isu bekalan air Sungai Muda dalam semua mesyuarat peringkat Kerajaan Persekutuan.
”Bayangkan jika lembangan Ulu Muda terjejas disebabkan apa juga kegiatan pembalakan atau perlombongan sumber, ia akan menjejaskan tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
”Bukan Pulau Pinang sahaja yang terjejas, jadi ia adalah satu isu negara yang memerlukan tindakan Kerajaan Persekutuan,” katanya. –UTUSAN










