Imam berdepan 12 pertuduhan rogol, seks luar tabii adik ipar

Imam berdepan 12 pertuduhan rogol, seks luar tabii adik ipar bawah umur

TERTUDUH yang juga seorang imam dan penjawat awam diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan rogol, amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap adik iparnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang imam sebuah masjid di negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dengan 12 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap adik iparnya, sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 40 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Sabri Ismail dan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut enam pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan seorang imam didakwa telah merogol seorang kanak-kanak perempuan sejak mangsa berusia sembilan tahun dua bulan hingga 13 tahun 11 bulan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat. 

Untuk dua lagi pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa persetujuan mangsa sama. 

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat.

Tertuduh juga berdepan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama, di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) serta Seksyen 27 (1) akta sama. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat bagi Seksyen 14 (1) dan penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang dua sebatan bagi Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kesemua perbuatan itu dilakukan antara September 2017 sehingga 13 Jun 2022 di dua lokasi berbeza dalam daerah Jasin. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari dalam prosiding berasingan memohon supaya jaminan tidak dibenarkan. 

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia antara 16 hingga 3 tahun yang masih bersekolah, selain hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjawat awam.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM79,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober depan untuk sebutan semula kes.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya