Ilmu penting tentukan kebaikan, kemungkaran - Agong

Ilmu penting tentukan kebaikan, kemungkaran – Agong

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Normah Omar dalam Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penguasaan ilmu disifatkan amat penting dalam menentukan kebaikan dan kemungkaran selain mencipta kesejahteraan sejagat, malah dunia juga tidak akan berubah tanpa perkembangannya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, maruah dan harga diri seseorang manusia adalah berkait rapat dengan ilmu yang dimilikinya.

“Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mujadalah ayat ke-11 yang bermaksud: ‘… Allah akan mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu beberapa darjat’.

“Kerana itu pembangunan kemajuan tamadun sesuatu bangsa sentiasa dihubungkaitkan dan dibatasi dengan tahap penguasaan ilmu dan pendidikan dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, adalah amat bertepatan bagi pendidikan dijadikan sebagai agenda utama negara yang wajib diperkasakan sesuai mengikut peredaran masa dan zaman,” titah Seri Paduka ketika mencemar duli berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-64.

Turut berangkat adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang merupakan Pro-Canselor UiTM serta dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor.

Al-Sultan Abdullah yang juga merupakan Canselor UiTM turut berkenan mengurniakan anugerah Profesor Emeritus Dr. Normah Omar atas sumbangan dan kepakaran beliau dalam bidang kriminologi kewangan Islam.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut menzahirkan sukacita terhadap perkembangan dan pencapaian UiTM yang disifatkan seiring dengan usia kemerdekaan negara.

Titah Al-Sultan Abdullah, mahasiswa khususnya generasi muda dinasihatkan mempertingkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi terkini untuk mencipta masa hadapan yang gemilang buat negara dan diri sendiri.

“Dalam membina sebuah negara progresif, anak muda negara jjuga hendaklah dihindarkan daripada pemikiran regresif. Beta yakin apabila lebih ramai rakyat Malaysia yang dilengkapi dengan ilmu dan pendidikan, nescaya akan menjadi lebih bijaksana dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan.

“Dengan itu juga, negara kita akan melangkah dengan lebih yakin dan berani, menjadi sebuah negara maju dan dihormati dunia.

“Kejayaan diri bukan hanya diukur dengan segulung ijazah atau sekeping sijil, tetapi bagaimana seseorang itu menggunakan ilmu agar dapat membawa manfaat kepada dirinya, masyarakat dan negaranya,” titah Seri Paduka lagi.

Dalam istiadat konvokesyen UiTM kali ini, seramai 23,359 graduan pelbagai peringkat merangkumi cawangan universiti itu di Sabah dan Sarawak  yang berlangsung secara berasingan menerima ijazah dan diploma masing-masing bermula hari ini hingga 29 September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN