Ibu tunggal mangsa kebakaran bakal dapat rumah baharu -

Ibu tunggal mangsa kebakaran bakal dapat rumah baharu

PENGHULU, Mohd. Yusof Botak (dua dari kanan) menyampaikan sumbang wang tunai mewakili Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah kepada Robiah Saidin sambil diperhatikan Tuminah Kadi di Japerun Pantai Kundor, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mangsa kebakaran di Lorong Haji Manaf, Tangga Batu di sini awal pagi Selasa lalu, Robiah Saidin, 61, menerima bantuan wang tunai disalurkan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah dan pakaian sumbangan Wanita UMNO Cawangan Pantai Kundor. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, pihaknya juga sedang mengusahakan permohonan rumah baharu di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) untuk didiami ibu tunggal berkenaan.

“Saya sedang usahakan untuk Robiah mendapat rumah baharu di tapak yang terbakar melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembinaan Rumah Baharu LPM yang akan dibina secara percuma.

“Mangsa jugam menerima banyak bantuan terutama daripada Pejabat Ketua Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, naluri seorang ibu ternyata tepat apabila tindakan Robiah meletakkan kunci rumah di tepi pintu masuk berjaya menyelamatkan nyawanya dan anak lelaki daripada rentung dalam kebakaran.

Ketika kejadian kira-kira pukul empat pagi, mangsa sedang tidur sebelum menyedari rumahnya terbakar berikutan mendengar bunyi letupan dan terbau asap.

Dalam pada itu, Robiah ketika ditemui semasa hadir menerima bantuan wang tunai berkata, dia menyifatkan kejadian itu sebagai detik hitam yang sukar untuk dilupakan.

Menurutnya, kejadian terbabit menyebabkan dia menjadi trauma dan sering bermimpi api marak sehingga kerap terjaga daripada tidur.

“Saya sendiri tidak sangka dapat keluar dengan selamat dari rumah bersama anak lelaki, ketika api sedang marak bermula di bahagian tengah rumah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN