Ibu tunggal lega terima bantuan baiki rumah

Ibu tunggal lega terima bantuan baiki rumah

PUI Tiong Lam (dua dari kiri) menyerahkan kutipan wang kepada Siti Nor Mamat (tiga dari kanan) di Kampung Kok Keli, Tumpat, Kelantan, hari ini. - FOTO/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang ibu tunggal menarik nafas lega apabila menerima sumbangan berjumlah RM5,000 dari Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) bagi membaik pulih dinding rumahnya yang rosak dirempuh sebuah van dalam kejadian di Kampung Kok Keli, di sini, Jumaat lalu.

Ibu tunggal tersebut, Siti Nor Mamat, 64, berkata, sumbangan itu amat diperlukan oleh keluarganya bagi membaiki kerosakan dinding sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurutnya, pendapatan tidak menentu hasil jualan runcit secara kecil-kecilan sekitar RM20 hingga RM30 sehari di kawasan rumah berkemungkinan besar membuatkan dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyimpan wang.

“Saya berterima kasih kepada KKCK yang sudi membantu dan hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi mereka.

“Hasil kutipan ini saya akan gunakan untuk membeli keperluan bata, pasir dan simen bagi membina semula dinding yang rosak akibat rempuhan kuat itu,” katanya selepas menerima sumbangan dari Pengerusi KKCK Pui Tiong Lam di sini hari ini.

Siti Nor Mamat memberitahu, semasa kejadian dia yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan bunyi rempuhan kuat berhampiran biliknya.

Katanya, panik dengan kejadian itu dia terus bergegas ke rumah anaknya, Fairus Ibrahim, 40, yang terletak berhampiran untuk memaklumkan perkara tersebut.

“Selepas kejadian itu saya telah membuat laporan di Balai Polis berdekatan. Saya lega apabila kemalangan itu tidak meragut nyawa,” ujarnya.

Siti Nor Mamat berkata, dia akan terus berniaga secara kecil-kecilan  selagi mempunyai kudrat masih ada selain membantu penduduk untuk membeli barangan runcit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN