“Kerana Engkau telah menghukumku sesat, maka aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian aku mendatangi dari muka dan dari belakang, kanan dan dari kiri mereka. Dan engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”.
Itulah sumpah iblis di hadapan Allah SWT dengan bertekad dan bersungguh-sungguh mahu menyesatkan manusia sehingga hari kiamat.
Permainan syaitan diangkat menjadi subjek utama dalam filem seram terbaharu arahan Kabir Bhatia, Talbis Iblis yang bakal menghantui penonton bermula 20 Oktober ini.
Filem yang mengisahkan agenda tersembunyi seorang bidan bernama Junaidah terhadap wanita hamil, Hajar diperhebatkan dengan lakonan mantap aktres jelita, Nasha Aziz bersama barisan pelakon handalan lain seperti Azira Shafinaz, Zul Ariffin, Sherie Merlis, Jay Iswazir dan ramai lagi.
Kabir, yang juga pengarah filem Sepi dan Sembunyi: Amukan Azazil menyifatkan Talbis Iblis sebagai antara filem paling mencabar pernah diarahkannya.
“Proses penggambaran berjalan singkat dan kami lega kerana ia dapat disempurnakan dalam masa 24 hari. Saya amat berpuas hati dengan lakonan semua pelakon.
“Mereka memberikan sepenuh komitmen dan mampu menghidupkan setiap watak yang diamanahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bercerita lanjut, Kabir memaklumkan, filem itu menerima reaksi memberangsangkan ketika ditayangkan sempena Far East Film Festival Ke-24 di Udine, Itali, selain Bucheon International Fantastic
Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.
“Penonton luar terkejut dan tidak menyangka filem ini datang dari Asia Tenggara. Ada yang menyamakan keseraman filem ini dengan produksi Korea, The Wailing dan Inang dari Indonesia.
“Saya tidak menolak perkara itu kerana Talbis Iblis, pada perspektif saya sangat menyeramkan. Filem ini sesuatu yang unik dengan mengangkat budaya dan kepercayaan Melayu, selain sarat persoalan serta adegan mengejutkan serta plot twist yang akan terjawab pada akhir cerita,” katanya lagi.
Kabir, pada masa sama memuji komitmen semua pelakon baginya memiliki tarikan, sekali gus memberi kekuatan kepada filem itu.
“Nasha, contohnya sangat teliti dan bersungguh-sungguh menghidupkan watak Junaidah. Dia ada kemampuan semula jadi dan sangat cemerlang membawakan watak antagonis.
“Begitu juga dengan Azira, Zul, Sherie dan yang lain. Bagi saya, lakonan mereka memenuhi tuntutan watak masing-masing.
“Saya serahkan kepada penonton untuk menilai filem ini nanti. Ia sebuah filem seram yang berlainan dan diterjemahkan dalam bentuk visual menakjubkan” ujarnya.
Nasha sahut cabaran
Nasha Aziz pernah membuktikan kecemerlangannya membawa watak antagonis menerusi filem Trauma sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-17.
Kali ini, pelakon jelita itu sekali lagi menyahut cabaran, membawakan watak yang sama berat sebagai Junaidah.
“Watak ini sangat berlainan keran emosi Junaidah lebih tertekan, manakala dirinya pula dikawal oleh kuasa mistik. Ia berbeza dengan Jeslina yang saya lakonkan dalam Trauma.
“Bukan mudah mendapatkan emosi Junaidah, saya kena cari. Junaidah dan Nasha adalah dua karakter berbeza dan setiap kali masuk set, saya terus menjadi dia.
“Tetapi, saya masih boleh kawal diri dan tidak terbawa-bawa dengan karakter itu di luar. Saya yakin, kekuatan filem ini bukan hanya terletak pada Junaidah atau karakter lain, sebaliknya keseluruhan produksi ini,” katanya.
Botak rambut untuk Nasir
Sering tampil membawakan watak hero, Zul Ariffin yang memegang watak Nasir muncul dengan sisi berbeza.
Kata Zul, dia rela membotakkan kepalanya asalkan watak tersebut dapat diterjemahkan dengan baik untuk meyakinkan penonton.
“Saya tidak pernah membotakkan kepala untuk berlakon sebelum ini. Tetapi, untuk karakter ini, saya kena cukur rambut hampir setiap hari kerana jika tidak, solekan tidak lekat.
“Saya bersyukur kerana mereka sanggup merombak sedikit watak Nasir, sekurang-kurangnya nampak berbeza dan lebih menyerlah.
“Kami kena hasilkan imej Nasir untuk menghidupkan watak ini. Bukan mudah apabila terpaksa disolek tiga empat jam untuk kesan terbakar pada wajah,” katanya.
Letih tetapi berbaloi – Azira
Kali pertama diberikan peranan utama, Azira Shafinaz mengakui, Talbis Iblis adalah antara naskhah yang menguji fizikal dan kebolehan lakonannya.
Namun katanya dia berpuas hati kerana terdapat babak dalam filem ini yang tidak dibuat kosong, sebaliknya mencabar keupayaannya sebagai anak wayang.
“Babak melahirkan adalah yang paling mencabar kerana saya tidak pernah melalui pengalaman itu.
“Watak ini mencabar kekuatan fizikal. Jujur saya katakan, memang penat, apatah lagi lakonan terpaksa diulang berkali-kali. Kabir pula seorang yang sangat teliti tentang shot. Walaupun letih, saya suka,” katanya.
Kata Azira, dia gemuruh apabila digandingkan dengan nama besar seperti Nasha yang disifatkannya sebagai pelakon luar biasa dan berada pada liga tersendiri.
“Saya gementar digandingkan dengan Nasha. Kami pernah berjumpa, cuma sebelum ini, saya hanya melihat dia dari jauh.
“Kali pertama bekerjasama, saya lihat dia banyak membantu dan memudahkan ketika di lokasi penggambaran.
“Saya juga kagum dengan Kabir yang lebih memahami watak Hajar. Visual yang digambarkannya setiap hari berbeza. Sebagai pelakon, saya suka kerana filem dihasilkan dengan sebaik mungkin,” katanya.











