Guru besar SJKT direman buat tuntutan palsu

Guru besar SJKT direman buat tuntutan palsu

SEORANG guru besar sebuah SJKT di Skudai direman sehari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan kes membuat tuntutan palsu berjumlah RM2,583 pada Februari lalu.

JOHOR BAHRU: Seorang guru besar sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Skudai, di sini ditahan reman sehari kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah RM2,583, Februari lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Tiffany Chin Phin Yuan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9.05 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren serta tangan bergari dan diiringi dua pegawai SPRM.

Wanita berusia 57 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Johor pada pukul 2 petang, semalam.

Difahamkan, tertuduh telah mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan dan minuman serta barangan bagi Program  Ceramah Pembangunan Nilai Murni dalam Pendidikan Moral 2022 sedangkan ia tidak dibekalkan.

Malah program tersebut juga tidak dilaksanakan. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN