GTA tempelak PH konon berjuang hak Melayu tiada prinsip

GTA tempelak PH konon berjuang hak Melayu dianggap tiada prinsip

MARZUKI Yahya bercakap dalam sidang akhbar pendaftaran GTA di pekarangan RoS, Putrajaya. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini menempelak Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa blok baharu itu konon dianggap tiada prinsip kerana memperjuangkan hak Melayu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Marzuki Yahya dalam nada tegas menyatakan meskipun GTA tampak berteraskan Melayu Islam, namun ia tetap memelihara kepentingan semua bangsa.

“Kalau kita (GTA) lantang perjuang hak nasib kaum Melayu dianggap kononnya tiada prinsip, saya tidak tahu hendak kata apa lagi walhal kami berkorban untuk semua pihak,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama-sama jawatankuasa penajanya menyerahkan permohonan GTA yang ditubuhkan 4 Ogos lalu di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di sini.

Turut hadir ialah para pemimpin kanan Parti Pejuang Tanah Air, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia dan Parti Perikatan India Muslim Nasional.

Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik oleh stesen penyiaran swasta mendakwa blok itu sukar bekerjasama dengan GTA yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini termasuk agenda pembanterasan korupsi kerana gabungan siasah baharu itu diterajui sendiri ‘perasuah besar’ yang pernah berkuasa selama 22 tahun dan kemudian 22 bulan lagi.

GTA sebelum ini sudah menolak untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana marah ke atas Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggap sebagai pengkhianat.

Mengulas lanjut, Marzuki membayangkan blok siasah baharu itu kemungkinan berdepan PH dan PN selain Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

“Kami berhasrat mendirikan kerajaan yang lebih berwibawa tanpa menidakkan hak kaum lain dan ini memang jelas walaupun empat parti GTA dilabel hanya untuk orang Melayu,” katanya.

Setakat ini ujarnya, GTA tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan formal dengan PH, PN atau BN tetapi sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang sehaluan perjuangan.

 

Ini tegas beliau, termasuk dengan Pas yang ketika ini juga sedang ‘intai’ peluang bersama BN bagi memastikan tiada pertembungan dan calon PH tidak menang di kerusi majoriti Melayu.

 

Beliau bagaimanapun tidak menolak PRU-15 akan berlaku perlawanan sengit empat penjuru jika tiada pun mana-mana blok pembangkang mahu mengalah demi memastikan BN tumbang.

Senario pada kali ini katanya, tidak lagi sama dengan PRU-14 pada 2018 lalu kerana pengundi semakin bijak serta dapat menilai perbezaan ketara di bawah pentadbiran BN, PH dan PN.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN