KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedia menawan kerusi Parlimen dan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri Lahad Datu pada pilihan raya yang akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor mahu semua pemimpin dan ahli parti komponen GRS bekerja kuat dan menterjemahkan sokongan mereka dengan memastikan calon GRS memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Malah, GRS juga perlu memastikan semua kerusi DUN di bawah Parlimen Lahad Datu yang kini disandang oleh pembangkang dapat ditawan oleh GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pada PRN 2020, empat kerusi DUN di Parlimen Lahad Datu iaitu Silam, Segama, Tungku dan Kunak disandang oleh wakil rakyat daripada Parti Warisan (Warisan).
Walau bagaimanapun, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan iaitu Hassan A. Gani Pg Amir (Silam) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) bertindak keluar daripada Warisan pada 26 Februari dan 30 Oktober tahun lalu.
Hajiji yang juga Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata, pada masa ini, tiada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang, kerana mereka tidak dapat mengubah nasib rakyat.
“Hanya wakil rakyat daripada kerajaan sahaja yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat kepada kawasan ini.
“Maka, rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan membuat pilihan yang bijak pada PRU akan datang,” katanya semasa program jelajah GRS peringkat Parlimen Lahad Datu di Dewan Sri Perdana semalam.
Program jelajah ketiga yang dihadiri kira-kira 4,000 orang penyokong GRS itu diadakan selepas siri jelajah di Parlimen Keningau dan Kudat.
Mengulas lanjut katanya, GRS bersedia menerima parti-parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu untuk sama-sama berjuang bagi memastikan Sabah terus maju di bawah pimpinan gabungan parti tempatan.
“Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati di dalam GRS.
“Saya mahu mendengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) bahawa mereka mahu bekerjasama untuk kepentingan negeri Sabah,” katanya.
Hadir sama dalam program itu ialah Presiden dan timbalan-timbalan presiden komponen GRS iaitu Datuk Seri Yong Teck Lee (Parti Maju Sabah-SAPP); Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu-USNO); Datuk Dr Joachim Gunsalam (Parti Bersatu Sabah-PBS) dan Datuk Robert Tawik (Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Turut hadir ialah Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah dan Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Juil Nuatim.- UTUSAN