Gerakan mahu bertanding di Alor Setar, Sungai Petani

Gerakan mahu bertanding di Alor Setar, Sungai Petani

DOMINIC Lau Hoe Chai (lima dari kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Persidangan Perwakilan Tahunan Gerakan di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhasrat untuk bertanding di dua Parlimen dalam negeri ini termasuk Alor Setar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, selain Alor Setar yang dijangka menjadi kerusi panas itu, Gerakan juga bercadang untuk bertanding di Sungai Petani dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Kota Darul Aman, Derga, Sidam, Bakar Arang dan Lunas.

“Gerakan Kedah sudah menyenaraikan dua Parlimen dan lima DUN yang mereka ingin bertanding, kita akan bawa ke peringkat Pusat dan semua pandangan, cadangan serta strategi yang mereka minta kita akan bincang tidak lama lagi.

“Selepas buat analisis (senarai itu) termasuk calon yang mereka cadang ia akan dibawa ke peringkat Perikatan Nasional (PN) pula untuk rundingan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan Tahunan Gerakan, di sini hari ini.

Menyentuh tentang kemungkinan berlaku pertindihan ekoran komponen PN iaitu Pas turut berhasrat bertanding di Alor Setar, kata Dominic, isu berkenaan akan diputuskan dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan kesepakatan dalam gabungan itu.

“Kita katakan memang ada pertindihan antara permintaan komponen PN untuk bertanding di kawasan itu, namun pertindihan itu daripada sudut positif adalah kita ada banyak calon untuk bertanding.

“Calon yang dicadangkan oleh parti komponen itu mesti dipertimbang mengikut dua faktor yang penting iaitu parti dan calon itu dari segi sokongan jentera dan calon mana yang boleh menang dengan peratusan lebih tinggi. Kedua-dua itu mesti dibuat pertimbangan,” katanya.

Jelasnya, jentera parti komited untuk memastikan kemenangan PN dengan mengulangi kecemerlangan pada PRN Melaka dan Johor yang meraih banyak undi walaupun tidak memenangi banyak kerusi.

Sementara itu, tentang rundingan kerusi dalam PN katanya, Gerakan yakin ia akan diselesaikan sebelum pembubaran Parlimen nanti.

“Arahan diberikan PN di peringkat Pusat kepada semua komponen bahawa senarai calon bertanding harus diberikan, namun kita berharap perbincangan di peringkat PN negeri diselesaikan dahulu. Sebelum PRU15 kita yakin akan selesai semua masalah ini termasuk isu pertindihan kerana kesudahannya kita hanya ada satu calon dan satu kawasan sahaja,” katanya.

Dalam PRU14, Gerakan cuma bertanding di dua DUN Kedah iaitu Derga dan Sidam namun kalah di kedua-dua kawasan berkenaan. UMNO sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Alor Setar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya