fbpx

Gara-gara lori ubah haluan seorang maut dalam nahas libatkan empat kenderaan

KEADAAN nahas empat buah kenderaan termasuk van polis yang berlaku di Kilometer 225, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di Rembau petang tadi. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH

REMBAU: Gara-gara sebuah lori mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong laju, mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi parah manakala 11 orang yang lain cedera dalam nahas empat buah kenderaan di Kilometer 225, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, pemandu lori, Mohd. Zaki Taib, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, tujuh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pula cedera dan masing-masing kini dirawat di tiga buah hospital iaitu di Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban.

“Penumpang van polis, Lans Koperal Mohd. Shukri Ayob, 28, mengalami kecederaan parah di kaki dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ujar Hazri, selain lori muatan cat jenis Hino serta van polis jenis Toyota Hiace berkenaan, dua buah kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah sebuah kereta Toyota Camry dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

“Kelima-lima individu berusia 32 tahun hingga 64 tahun dalam kereta jenis Toyota Camry mengalami kecederaan ringan dan dirawat di zon kuning Hospital Rembau.

“Dua lagi individu dalam Perodua Alza, berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

Hazri dalam pada itu berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati, lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh dan memandu di lorong tengah.

“Sampai di tempat kejadian, lori berkenaan telah mengubah haluan ke lorong laju dan menghimpit Toyota Camry dan Perodua Alza lalu melanggar besi penghadang lebuh raya di bahagian tengah.

“Lalu masuk ke laluan bertentangan merempuh van polis yang bergerak dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!