BUKIT MERTAJAM: Seramai enam suspek warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan susulan penemuan ganja seberat 7,640.45 gram yang dianggarkan bernilai RM19,346.12 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga daripada suspek berkenaan yang bekerja sebagai mekanik ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kereta di Permatang Rawa, di sini kira-kira pukul 8.30 malam, Isnin lepas.
Katanya, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 6,350 gram bernilai RM15,875 selain merampas selaras senapang buatan sendiri bersama 19 butir peluru.
“Serbuan kedua pula dibuat di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Permatang Pauh kira-kira pukul 9.30 malam hari sama.
“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci ditahan manakala satu ketulan mampat daun kering disyaki berisi ganja dengan anggaran berat 244.77 gram bernilai RM611.92 dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Cheng San berkata, serbuan ketiga dibuat pukul 12.30 malam di kawasan Kubang Semang di sini yang mana sepasang suami isteri ditahan bersama dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat ganja seberat 1,045.68 gram bernilai RM2,614.20 serta satu plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah heroin seberat 7.00 gram bernilai RM245.
Katanya, risikan polis mendapati aktiviti pengedaran dadah dipercayai untuk pasaran tempatan itu telah aktif sejak awal tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 15,280 penagih jika terlepas ke pasaran gelap.
“Ketika ini, kesemua tangkapan yang berusia antara 31 hingga 56 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup,” katanya.
Menurut Cheng San, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila dua buah kereta dan tiga motosikal pelbagai jenama disita bersama wang tunai bernilai RM11,400 sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM96,546.12.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sepanjang tahun ini hingga semalam, ibu pejabat polis daerah (IPD) SPT telah membuat 2,528 tangkapan berkaitan dadah secara keseluruhannya.
“Polis akan terus meningkatkan usaha untuk memerangi kegiatan pengedaran dadah sekali gus memastikan aktiviti ini dibanteras secara habis-habisan,” ujar beliau. – UTUSAN